KUALA LUMPUR, 26 FEB – Malaysia menyasarkan kedudukan strategik sebagai hab utama Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) aset pertahanan di rantau Asia Tenggara, selaras dengan peralihan dasar negara daripada sekadar pengguna kepada pembangun teknologi ketenteraan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan evolusi peranan Malaysia ini sedang digiatkan secara komprehensif bersandarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Melalui kerangka Kerjasama Industri Pertahanan ASEAN (ADIC), kementerian memfokuskan tiga teras strategik bagi mengubah landskap kebergantungan negara terhadap aset import.
Bagi merealisasikan peranan dalam rantaian bekalan serantau, kementerian merancang secara teliti untuk memposisikan syarikat tempatan sebagai penyedia perkhidmatan MRO yang berwibawa bagi memenuhi keperluan kesemua negara anggota ASEAN.
Perancangan jangka panjang ini turut menuntut penyertaan aktif Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pertahanan. Kapasiti syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global dan serantau akan terus diperkukuh bagi mencapai sasaran 30 peratus penglibatan kandungan tempatan seperti yang digariskan di dalam dasar pertahanan nasional.
Selain melebarkan sayap dalam sektor penyelenggaraan, Malaysia turut memberikan penekanan khusus kepada inisiatif pembangunan bersama yang menjurus kepada penciptaan harta intelek.
Pendekatan tersebut digerakkan menerusi projek usaha sama yang menggalakkan syarikat pertahanan tempatan bekerjasama rapat dengan rakan strategik serantau. Kolaborasi ini bermatlamat untuk membangunkan aset baharu yang bertepatan dengan keperluan doktrin ketenteraan ASEAN, khususnya dalam pembuatan kenderaan perisai serta sistem dron taktikal.
Pelaksanaan ekonomi mengikut bidangan skala menerusi kerjasama pelbagai hala ini membolehkan kos penyelidikan dan pembangunan dikongsi bersama. Langkah ini terbukti efektif dalam mengelakkan pertindihan pelaburan dalam kalangan negara anggota, di samping mempercepatkan penghasilan teknologi pertahanan milik penuh tempatan.
Mengenai keperluan pemindahan teknologi, Mohamed Khaled menjelaskan pemerolehan aset ketenteraan strategik kini diikat dengan syarat timbal balas yang memberi manfaat langsung kepada kemajuan teknologi negara.
“Melalui pemerkasaan Program Kolaborasi Industri (ICP), setiap perolehan strategik pertahanan dimanfaatkan untuk memperoleh teknologi baharu, termasuklah dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan sistem autonomi,” kata Mohamed Khaled dalam penyataan soal jawab lisan Dewan Negara bertarikh 25 Februari.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Senator Musoddak Ahmad mengenai peranan dan peluang Malaysia dalam Kerjasama Industri Pertahanan ASEAN, termasuk inisiatif pemindahan kemahiran.
Menyentuh tentang visi serantau, beliau menyatakan penguasaan teknologi pertahanan berimpak tinggi ini tidak akan terhad untuk kegunaan domestik semata-mata.
Malaysia sebaliknya bersedia menggalas tanggungjawab sebagai pemudah cara di peringkat rantau. Peranan ini penting bagi memastikan segala teknologi pertahanan yang berjaya dibangunkan dapat disesuaikan dan dikongsi secara meluas di dalam ekosistem ASEAN demi memastikan kemandirian pertahanan secara kolektif dapat dicapai. – airtimes.my
