Baru-baru ini, dunia pertahanan tanah air digegarkan dengan isu perolehan Naval Strike Missile (NSM). Isu ini dilihat bakal mengganggu gugat perjalanan projek Littoral Combat Ship (LCS) atau lebih dikenali sebagai Kapal Tempur Pesisir.
LCS merupakan antara kelas kapal yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memastikan armada pertahanan laut negara mempunyai keupayaan kombatan.
Beberapa tahun lalu, Air Times pernah membangkitkan isu mengenai keperluan kapal perang yang mempunyai kemampuan kombatan dalam postur pertahanan negara. Namun begitu, isu NSM sekali lagi meletakkan perhatian umum mengenai keperluan kombatan untuk TLDM.
Isu pembekalan NSM dari Norway untuk LCS sekali lagi membuka semula perbincangan besar tentang perkara ini. Isu ini perlu dilihat bukan hanya kerana jenis misil atau satu kontrak pertahanan semata-mata. Isu ini menyentuh perkara yang lebih besar.
Antaranya, bagaimana Malaysia dapat memastikan kapal perang benar-benar mempunyai keupayaan tempur pada masa hadapan? Bagaimana pula dengan jaminan bekalan, sokongan jangka panjang dan ruang teknologi yang tidak mudah terganggu oleh perubahan geopolitik?
Isu perolehan peluru berpandu NSM bukan sekadar memberikan kesan kepada Kapal Tempur Pesisir (LCS) , hakikatnya perkara ini turut membuka mata kita terhadap beberapa perkara. ./Foto: LUNAS
Misil anti kapal: Taring kepada kapal TLDM
Dalam peperangan di lautan, kehadiran sebuah kapal perang tidak cukup hanya sekadar hadir bagi tujuan memperagakan kehadiran semata-mata (show of force). Kehadirannya sudah tentu membawa maksud tersendiri. Ia perlu mampu mengesan ancaman, berkongsi maklumat, mempertahankan diri dan, jika keadaan memaksa, memberi tindak balas yang boleh mengubah perkiraan pihak lawan.
Sebab itu peluru berpandu anti kapal menjadi keupayaan yang penting kepada kapal kombatan. Misil anti kapal bukan sekadar senjata tambahan, ia merupakan taring kepada sebuah kapal tempur. Tanpa taring yang dimaksudkan, kapal masih boleh menjalankan rondaan, pengawasan dan pelbagai tugas keselamatan.
Namun, dari sudut peperangan laut, nilai cegah rintangnya akan berkurangan secara signifikan. Sebuah kapal perang yang tidak mempunyai keupayaan menyerang sasaran permukaan dari jarak selamat akan lebih mudah dipaksa berundur, dielak atau dicabar oleh pihak yang mempunyai keupayaan lebih lengkap.
Malaysia sememangnya sebuah negara aman dan neutral. Tetapi, sudah menjadi hukum alam apabila sesuatu perkara tidak akan kekal selamanya dan kita kerap kali diberikan peringatan dalam beberapa bentuk.
Antara peringatan yang jelas ialah pepatah Melayu, “sediakan payung sebelum hujan, sediakan perahu sebelum banjir”.
Pepatah ini mengingatkan bahawa persediaan mesti dibuat sebelum krisis berlaku. Dalam konteks pertahanan, keupayaan tempur tidak boleh dibina hanya selepas keadaan mendesak. Ia perlu dirancang, diuji dan dipastikan tersedia lebih awal.
Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia perlu melengkapkan kekuatan TLDM dari pelbagai aspek termasuklah peluru berpandu anti permukaan. ./Foto: Air Times/Muaz
Malaysia: Sebuah negara maritim yang bergantung kepada laut
Malaysia ialah negara maritim. Semenanjung Malaysia dipisahkan daripada Sabah dan Sarawak oleh Laut China Selatan. Perdagangan, tenaga, bekalan makanan, industri, pelabuhan dan hubungan antara wilayah banyak bergantung kepada laluan komunikasi laut atau sea lines of communication (SLOC).
Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang digubal pada tahun 2019 meletakkan aspek keselamatan, kedaulatan dan kemakmuran sebagai tiga kepentingan utama negara yang perlu dipelihara. Dalam dokumen Kajian Separuh Penggal KPP pula, kedudukan Malaysia sebagai negara maritim dengan susur galur kebenuaan ditegaskan semula, bersama hasrat menjadi gerbang penjalin antara rantau Asia Pasifik dengan Lautan Hindi. Dokumen itu turut menyatakan bahawa keutamaan tinggi telah diberikan kepada keupayaan pertahanan domain maritim dan udara, selain pembangunan domain siber elektromagnetik.
Laut ialah ruang hidup strategik Malaysia. Jika laluan laut terganggu, kesannya tidak hanya dirasai oleh TLDM. Ia boleh menjejaskan bekalan tenaga, harga barangan, eksport, import dan keyakinan ekonomi. Sebab itu, kapal kombatan bukan aset mewah. Ia sebahagian daripada alat negara untuk memastikan ruang maritim kekal selamat, terbuka dan tidak mudah dipengaruhi oleh pihak luar.
Gangguan di SLOC boleh memberi kesan besar kepada negara. Perang Ukraine telah memberikan kesan kepada pelayaran dagang di Laut Hitam. Konflik di Timur Tengah pula memberikan kesan kepada pelayaran perdagangan di Laut Merah dan terkini, Selat Hormuz.
Dalam konteks Malaysia dan ASEAN, Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadi tumpuan. Mahu tidak mahu, kita perlu menerima hakikat bahawa konflik boleh berlaku di mana-mana sahaja, termasuklah di kawasan berhampiran dengan kita sendiri.
Laut China Selatan kekal berisiko menjadi titik panas keselamatan serantau, walaupun bentuk dan tahap krisisnya sukar diramalkan. Mungkin pada ketika itu, Malaysia tidak akan terlibat secara langsung, tetapi kesannya akan tetap dirasai oleh Malaysia.
Ungkapan si vis pacem, para bellum mungkin tampak klise bagi sesetengah pihak, tetapi kata-kata yang membawa maksud “jika mahu keamanan, sentiasa bersedia untuk berperang” ini sering kali disalahertikan sebagai premis pro-peperangan oleh sesetengah pihak berkepentingan.
Hakikatnya, ungkapan dalam karya Epitoma Rei Militaris pada era Rom itu lebih dekat dengan realisme geopolitik dan keperluan cegah rintang (deterrence), bukan seruan untuk mencetuskan perang.
Konflik yang sedang memuncak di Timur Tengah telah menunjukkan bagaimana laluan perhubungan laut (SLOC) memberikan kesan kepada dunia. ./Foto:US Department of War
Cegah rintang bukan mahu berperang
Perkataan “cegah rintang” sering kedengaran teknikal. Namun maksudnya mudah. Cegah rintang ialah keupayaan untuk membuat pihak lain berfikir berkali-kali sebelum mencabar kepentingan negara. Ia bukan seruan untuk berperang. Ia ialah cara untuk mengekalkan keamanan melalui kekuatan yang dipercayai.
Di Malaysia, pembangunan keupayaan pertahanan adalah untuk memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan, bukan untuk perlumbaan senjata. Perkara ini telah ditekankan dalam KSP KPP. Dokumen itu turut menyatakan bahawa keupayaan pertahanan ialah satu bentuk cegah rintang yang perlu dipersiapkan di samping penggunaan saluran diplomasi bagi mempertahankan kepentingan negara serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia.
Di laut, cegah rintang tidak boleh bergantung kepada rondaan sahaja. Sebuah kapal boleh hadir di kawasan operasi, tetapi kehadiran itu hanya benar-benar bermakna jika ia disokong oleh keupayaan yang boleh dipercayai. Radar memberi mata. Sistem komunikasi memberi rangkaian. Sistem pengurusan tempur memberi otak. Misil anti kapal memberi pukulan.
Tanpa keupayaan pemukul, sesebuah kapal kombatan kehilangan sebahagian daripada kuasanya dalam krisis. Dalam erti kata lain, kapal itu tidak bertaring dan tidak memberikan kesan gerun kepada lawan.
Perolehan kapal baharu TLDM, Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) dilengkapi dengan misil anti permukaan ATMACA dari Turkiye. ./Foto:Air Times/M Daim
Mengapa kapal kombatan memerlukan misil anti kapal
Seiring peredaran masa dan evolusi teknologi, peperangan laut moden bergerak pada jarak yang semakin jauh. Kapal tidak semestinya bertembung secara dekat seperti gambaran perang lama. Dalam banyak keadaan, siapa yang mengesan dahulu, membuat keputusan dahulu dan melancarkan serangan dahulu akan mempunyai kelebihan tersendiri.
Misil anti kapal membolehkan kapal kombatan menyerang sasaran permukaan dari jarak selamat. Ia juga membolehkan TLDM membentuk kawasan penafian laut, iaitu kawasan yang terlalu berisiko untuk dimasuki oleh pihak lawan tanpa mengambil kira kemungkinan diserang. Keupayaan ini penting bagi melindungi kapal sendiri, aset maritim negara, laluan dagang, pelantar tenaga dan kawasan kepentingan di Laut China Selatan.
Namun, misil bukan berdiri sendiri. Ia mesti disokong oleh rangkaian pengesanan dan penentuan sasaran yang baik. Pesawat rondaan maritim, helikopter, dron, radar pantai, kapal lain, sistem risikan dan komunikasi selamat semuanya memainkan peranan. Tetapi tanpa senjata serangan permukaan yang sesuai, rangkaian itu hanya mampu mengesan ancaman tetapi tidak mampu menanganinya.
Sebab itu LCS, sebagai kapal kombatan utama masa depan TLDM, memerlukan misil anti kapal yang benar-benar sesuai dengan peranannya.
Cegah rintang tidak semestinya terhad kepada aspek memperagakan kehadiran, tetapi ia turut melibatkan kelengkapan sistem persenjataan pada sesuatu aset strategik. ./Foto:LUNAS
NSM dan LCS: Keupayaan yang dirancang sejak awal
Pada April 2018, Kongsberg Defence & Aerospace mengumumkan kontrak bernilai EUR124 juta dengan TLDM bagi membekalkan NSM untuk LCS. Menurut Kongsberg, misil itu dirancang untuk dipasang di atas kapal dan diintegrasikan dengan sistem pengurusan tempur SETIS yang dibekalkan oleh Naval Group. Kenyataan itu turut menyebut kontrak berkenaan memberi TLDM keupayaan peluru berpandu permukaan ke permukaan yang penting.
Kenyataan itu secara jelas meletakkan NSM sebagai sebahagian daripada reka bentuk keupayaan LCS, bukan komponen sampingan. Kapal kelas Maharaja Lela dirancang sebagai platform kombatan yang mempunyai keupayaan pengawasan, pertahanan udara jarak dekat, peperangan anti kapal selam dan serangan permukaan. Jika komponen serangan permukaan terganggu, nilai keseluruhan platform turut terkesan.
KSP KPP menyatakan bahawa projek LCS diteruskan bagi melindungi kepentingan negara di kawasan lanjutan, dengan kapal pertama KD Maharaja Lela dijangka diterima pada Ogos 2026 dan empat lagi kapal antara 2027 hingga 2029. Dokumen sama turut menyebut perolehan LMS Batch 2 telah dimulakan pada 2024, dengan kapal pertama dan kedua dijadual diterima pada 2027, disusuli kapal ketiga pada 2028.
Jadual penerimaan LCS dan LMS Batch 2 menunjukkan TLDM sedang memasuki fasa penting pemodenan armada. Maka, isu misil anti kapal tidak boleh dipisahkan daripada penerimaan kapal, integrasi sistem dan kesiapsiagaan sebenar apabila kapal mula beroperasi.
Keupayaan peluru berpandu NSM telah mendapat perhatian dunia termasuk Amerika Syarikat. NSM dikatakan telah mengatasi beberapa aspek yang lazimnya dikuasai oleh Tomahawk. ./Foto:US Department of War
Isu NSM dan realiti kawalan eksport
Pada Mei 2026, laporan awal portal pertahanan berbahasa Inggeris tempatan Malaysian Defence menyentuh isu perolehan NSM mendapat maklum balas rasmi kerajaan. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dengan Norway bagi mendapatkan penjelasan dan membincangkan langkah sewajarnya. Beliau turut mengesahkan kementerian mengambil maklum perubahan pendirian kerajaan Norway berhubung kelulusan eksport pertahanan.
Faktor di sebalik perubahan pendirian ini kini lebih jelas. Kementerian Luar Norway (MOFA) telah mengesahkan pembatalan beberapa lesen eksport yang melibatkan teknologi tertentu, dengan alasan Norway kini melaksanakan kawalan yang lebih ketat ke atas teknologi tersebut. Walaupun pihak berkuasa Norway menegaskan bahawa mereka masih menghargai hubungan baik dengan Malaysia, keputusan ini mengundang persoalan yang lebih besar: adakah ia sekadar pematuhan birokrasi berikutan penubuhan Direktorat Kawalan Eksport dan Sekatan (DEKSA) Norway pada Januari 2025, atau adakah ini petanda wujudnya satu dasar lebih meluas yang mengehadkan eksport teknologi kritikal pertahanan kepada negara-negara bukan NATO?
Isu bekalan NSM bukan sekadar soal kelewatan penghantaran, tetapi berkait dengan lesen eksport, kawalan teknologi dan risiko perubahan dasar negara pembekal. Jika corak bekalan senjata global pasca-Ukraine dinilai, tekanan terhadap rantaian bekalan pertahanan Eropah wajar diambil kira sebagai salah satu faktor yang boleh mempengaruhi keputusan negara pembekal.
Oleh sebab itu, Norway tidak wajar dihukum secara emosi hanya kerana melaksanakan haknya sebagai negara pengeluar. Misil anti kapal generasi baharu seperti NSM mengandungi teknologi yang dikawal ketat. Ia mampu terbang rendah menyusur permukaan laut (sea-skimming), mempunyai penderia pasif, profil radar rendah, dan sistem Pengecaman Sasaran Autonomi (ATR) beresolusi tinggi yang dikawal ketat pengedarannya.
Bagi Malaysia, isu ini menunjukkan bahawa kontrak pembelian semata-mata bukan jaminan keselamatan mutlak. Perolehan pertahanan moden kini tertakluk kepada kelulusan lesen eksport baharu, jaminan penghantaran, pematuhan birokrasi dan terutama sekali risiko perubahan dasar luar negara pembekal akibat dinamika geopolitik serantau mereka.
ATMACA merupakan hasil teknologi pertahanan mandiri oleh Turkiye. Mungkin tiba masanya Malaysia perlu melihat Turkiye sebagai salah satu role model dalam memperkuatkan industri pertahanan tempatan ./Foto: Kementerian Pertahanan Turkiye
Jika tiada NSM? Adakah Exocet, ATMACA atau yang lain?
Dari sudut sejarah pertahanan tanah air, TLDM mempunyai sejarah panjang mengoperasikan Exocet. Sistem ini pernah menjadi tulang belakang keupayaan anti kapal TLDM dan membina pengalaman penting dalam pengendalian sistem misil buatan Barat.
Namun, usia sistem perlu diambil kira. Pada Februari 2026, Air Times pernah melaporkan jawapan bertulis Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat bahawa TLDM akan mengoperasikan dua jenis peluru berpandu permukaan ke permukaan, iaitu NSM dari Norway dan ATMACA dari Turkiye, dengan ATMACA dijangka diterima pada 2028. Perolehan kedua-dua misil ini mengambil kira konteks rancangan penggantian Exocet MM40 Blok II yang telah berkhidmat selama 29 tahun.
Perbandingan antara Exocet, NSM dan ATMACA tidak wajar dibuat seperti pertandingan siapa paling hebat. Setiap sistem mempunyai latar teknologi, doktrin penggunaan, integrasi platform dan rantaian bekalan tersendiri. Exocet mewakili pengalaman operasi lama TLDM, tetapi tidak bermakna kita boleh menolak tepi akan keperluan sistem ini. NSM dikaitkan dengan keupayaan generasi baharu dan integrasi awal LCS. ATMACA pula membawa dimensi kepelbagaian sumber, khususnya hubungan pertahanan dengan Turkiye dan perolehan LMS Batch 2.
Bagi Malaysia, persoalan utama bukan memilih sistem berdasarkan reputasi semata-mata. Persoalannya ialah sistem mana yang boleh dihantar, disokong, diintegrasikan, diselenggara dan dikembangkan dalam jangka panjang tanpa menimbulkan kelompangan operasi.
Seandainya perolehan NSM tidak mendapat kata putus yang baik, mungkin tiba masanya untuk Malaysia melihat kembali Exocet. Ini memandangkan platform LCS adalah berasaskan teknologi Perancis dan TLDM mempunyai pengalaman dalam mengoperasikan misil yang sama ./Foto:US Department of War
Kesedaran serantau dan realiti rantaian bekalan global
Negara-negara Indo-Pasifik kini giat mempertingkatkan keupayaan serangan permukaan jarak jauh. Filipina, misalnya, telah melabur PHP18.9 bilion (kira-kira RM1.59 bilion) untuk sistem BrahMos, manakala Indonesia terus menguji keupayaan Exocet dan Australia sedang beralih kepada misil NSM. Trend ini bukan isyarat perlumbaan senjata, sebaliknya mencerminkan kesedaran serantau tentang keperluan menangkis ancaman dari jarak yang lebih jauh dan selamat.
Keperluan ini semakin mendesak apabila melihat kepada corak Perang Ukraine dan konflik Timur Tengah (seperti Ops Epic Fury). Konflik moden menuntut penggunaan peluru berpandu dan amunisi pintar pada kadar yang sangat tinggi. Akibatnya, rantaian bekalan pertahanan global menjadi kritikal kerana negara pengeluar seperti di Eropah dan AS terpaksa mengutamakan stok untuk kegunaan sendiri atau sekutu rapat mereka.
Dari sudut Malaysia, dinamika geopolitik ini meletakkan negara pembeli yang bukan sekutu utama dalam risiko kelewatan atau gangguan bekalan senjata. Jika rantaian bekalan maritim dan industri terjejas oleh keutamaan konflik luar, ia akhirnya akan mengancam keselamatan laluan laut (SLOC) dan kestabilan ekonomi negara.
Perolehan sesuatu aset tidak semestinya menunjukkan siapa dapat yang paling canggih, tetapi ia turut melibatkan rantaian dan bekalan di saat genting. /Foto:US Department of War
Kedaulatan bukan sekadar membeli senjata
Isu perolehan NSM kepada Malaysia perlu dilihat dari satu lagi sudut yang lebih besar. Kedaulatan pertahanan bukan sekadar kemampuan membeli sistem terbaik di pasaran. Ia juga merangkumi kemampuan memastikan sistem itu sampai, boleh digunakan, boleh diselenggara, boleh diintegrasikan dan boleh disokong sepanjang hayat perkhidmatan.
Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) atau National Defence Industry Policy (NDIP) meletakkan matlamat untuk membentuk kemandirian (self-reliance), inovasi dan kemajuan teknologi pertahanan Malaysia. Dasar itu menyasarkan pengurangan kebergantungan kepada teknologi asing melalui pembangunan keupayaan tempatan, kerjasama sektor awam-swasta, pengukuhan rantaian bekalan dan transformasi teknologi.
DIPN turut memberi penekanan kepada sektor maritim, pembangunan kapal perang dan kapal sokongan, sistem berkaitan pertahanan laut, serta sektor senjata dan amunisi sebagai subsektor kritikal industri pertahanan negara. KSP KPP pula menegaskan bahawa DIPN perlu direalisasikan segera bagi memberi hala tuju jelas kepada pertumbuhan industri pertahanan tempatan, termasuk penekanan kepada kandungan tempatan, pemindahan teknologi, pelesenan, hak harta intelek, latihan dan kerjasama penyelidikan.
Ini tidak bermaksud Malaysia perlu mengambil pendekatan yang tergesa-gesa dan tidak realistik iaitu membina semua perkara sendiri secara segera. Malaysia perlu bergerak daripada sekadar membeli sistem kepada membina keupayaan untuk menyelenggara, mengintegrasikan dan menyokong sistem itu sendiri.
Dalam perolehan misil, misalnya, Malaysia perlu menilai bukan sahaja harga dan prestasi, tetapi juga hak penyelenggaraan, data teknikal yang dibenarkan, latihan, integrasi tempatan, simpanan amunisi, sokongan perisian dan kemungkinan penglibatan industri tempatan.
Adalah menjadi harapan kepada kita semua agar pembangunan LCS dan aset persenjataannya dapat dipenuhi mengikut jadual. ./Foto:LUNAS
Apa yang berlaku seterusnya?
Sama ada Malaysia mampu meneruskan semula perolehan NSM atau tidak, ia bergantung kepada kebijaksanaan di peringkat kerajaan. Dalam apa jua keputusan selepas ini, aspek rantaian bekalan serta kepentingan pengguna akhir iaitu TLDM dan kedaulatan Malaysia perlu menjadi pertimbangan utama.
Namun, seperti yang dinyatakan tadi, sediakan payung sebelum hujan. Langkah ke hadapan adalah untuk menyelesaikan masalah dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mencari siapa yang salah bukanlah satu langkah ke hadapan. Apa yang pasti, masalah mesti diselesaikan dan negara juga perlu bersedia dengan pilihan lain jika laluan asal tidak lagi dapat dipertahankan.
Perlu diingatkan, kapal kombatan tanpa misil anti kapal masih boleh belayar. Ia masih boleh mengibarkan bendera, melaksanakan rondaan dan memperagakan kehadiran. Tetapi dari sudut lain, kapal kombatan memerlukan keupayaan yang membuat sesuatu pihak mengambil kira risiko. Itulah nilai taring maritim.
Isu NSM mengingatkan Malaysia bahawa perolehan pertahanan moden tidak boleh dilihat secara sempit. Ia bukan hanya soal memilih sistem terbaik di atas kertas. Ia melibatkan kawalan eksport, rantaian bekalan, keutamaan geopolitik negara pembekal, sokongan sepanjang hayat dan keupayaan industri tempatan.
Malaysia mungkin masih perlu membeli sistem luar negara untuk tempoh yang panjang. Namun, setiap pembelian perlu membawa negara lebih hampir kepada kedaulatan teknologi, bukan sekadar menambah kebergantungan.
Bagi TLDM, misil anti kapal ialah keperluan operasi. Bagi negara, ia ialah sebahagian daripada cegah rintang. Bagi rakyat, ia ialah peringatan bahawa kedaulatan bukan hanya dipertahankan dengan kata-kata, tetapi dengan keupayaan yang nyata, terancang dan boleh dipercayai. – airtimes.my


























