Peluru infantri selama ini hanya dilihat sebagai senjata pertempuran darat. Namun, kemunculan peluru anti-dron 5.56 mm mengubah persepsi lama itu.
Dalam era di mana ancaman udara semakin kecil, pantas dan sukar dikesan, peluru ini menjadikan raifal serangan biasa sebagai pertahanan udara jarak dekat yang mampu menembak jatuh dron.
Inovasi ini menandakan peralihan besar dalam strategi peperangan moden. Daripada mengharapkan sistem anti-dron yang besar dan mahal, anggota di barisan hadapan kini berpotensi mempertahankan diri daripada ancaman udara hanya dengan menukar jenis peluru di dalam kelopak.
Bagaimana peluru kecil menjadi pertahanan udara?
Peluru anti-dron 5.56 mm atau nama rasminya 5.56×45 mm direka dengan prinsip yang mudah. Peluru yang diciptakan mestilah boleh digunakan oleh raifal di bawah standard NATO tanpa sebarang alat tambahan. Ini bermakna tiada penyesuai, tiada muncung khas dan tiada optik tambahan diperlukan.
Peluru ini boleh ditembak menggunakan raifal yang menembak peluru 5.56 mm NATO seperti AR-15, SIG MCX, M4, HK416 dan SCAR-L. Dengan menukar kelopak kepada peluru anti-dron, raifal tersebut serta-merta menjadi senjata anti-UAV jarak dekat.
Di Amerika Syarikat pula, peluru anti-dron ini tengah diuji sebagai alternatif atau pelengkap kepada senjata laser, peralatan peperangan elektronik dan dron pemintas.
Ujian lapangan dilakukan bagi menilai keberkesanannya sebagai sistem pertahanan udara kos rendah yang boleh dioperasikan oleh setiap anggota infantri.
Konsepnya kelihatan ringkas, namun inovasinya sangat ketara. Di mana, peluru yang ditembakan akan melepaskan berbilang serpihan kecil semasa berada di udara. Begitu juga dengan jarak serangannya, semakin jauh jaraknya, semakin luas kawasan serakan yang terbentuk.
Konsep serakan yang sama seperti tembakan senapan shotgun inilah yang meningkatkan kebarangkalian untuk mengenai dron kecil yang bergerak secara rawak atau meluncur laju ke arah sasaran.
Keberkesanan dalam ujian Amerika Syarikat
Peluru 5.56×45 mm anti-dron di Amerika Syarikat mendapat perhatian ramai selepas saluran YouTube yang bernama “Administrative Results” membuat ujian terhadap beberapa UAV. Ujian itu menunjukkan kemampuan sebenar peluru ini dalam situasi yang mensimulasikan ancaman sebenar di medan perang.
Pada jarak sekitar 25 hingga 35 meter, peluru menghasilkan zon kemusnahan selebar 30 hingga 40 sentimeter. Pada jarak 40 hingga 50 meter, zon itu boleh hampir berganda. Zon inilah yang memberi ruang kepada serpihan peluru yang mampu mengoyakkan rotor, merosakkan kamera atau memecahkan modul kawalan dron.

Ujian peluru anti dron 5.56 mm oleh saluran YouTube Administrative Results memperlihatkan serakan tembakan yang luas pada jarak dekat. Foto YouTube: Administrative Results
Dalam beberapa demonstrasi, dron yang terbang rendah berjaya dijatuhkan dengan hanya beberapa das tembakan sahaja. Ini menjadi bukti bahwasa dengan beberapa peluru sahaja sudah cukup untuk menjejaskan kestabilan dron dan memaksa ia terhempas.
Peluru yang dihasilkan oleh syarikat Drone Round ini, menekankan bahawa kelajuan projektil diubah suai agar lebih sesuai menentang sasaran berkelajuan rendah seperti dron FPV, quadcopter atau UAV peninjau kecil.
Selain keberkesanan, kelebihan terbesar peluru ini terletak pada kos dan mobilitinya. Ia jauh lebih murah berbanding hampir semua sistem anti-dron di pasaran dan boleh dibawa oleh setiap anggota di barisan hadapan tanpa menambah beban atau memerlukan latihan kompleks.
Ukraine sebagai perintis
Sebelum Amerika Syarikat memulakan ujian, Ukraine telah memulakan terlebih dahulu mengenai pembangunan dan penggunaan peluru anti-dron 5.56 mm lebih awal. Perang yang berlarutan menuntut penyelesaian segera, apatah lagi dron kecil menjadi salah satu ancaman terbesar terhadap askar Ukraine ketika Rusia meningkatkan penggunaan dron FPV dan UAV peninjau taktikal.
Peluru Ukraine ini menggunakan konsep yang hampir sama, namun reka bentuknya mempunyai perbezaan utama. Peluru ini dilengkapi kepala peledak khas yang meletup sebaik ditembak, menyebarkan serpihan ke pelbagai arah.
Dengan serpihan berkelajuan tinggi yang bergerak di hadapan, peluru ini memberi peluang lebih besar untuk mengenai dron walaupun askar tidak menembak dengan ketepatan mutlak.
Ukraine kini dikatakan sedang dalam proses pengeluaran peluru anti-dron ini secara besar-besaran, menandakan bahawa peluru ini bukan lagi eksperimen tetapi sebahagian daripada doktrin ketenteraan mereka.
Penggunaan peluru 5.56 mm anti-dron oleh Ukraine menambah satu lagi lapisan pertahanan dalam peperangan moden daripada segi pertahanan udara peringkat infantri.
Dalam situasi di mana sistem peperangan elektronik gagal, atau dron terbang terlalu rendah untuk ditangani oleh pertahanan udara konvensional, peluru ini menjadi peluang terakhir untuk menyelamatkan nyawa.
Mengapa peluru anti-dron menjadi keperluan mendesak?
Ancaman dron kecil berubah lebih pantas daripada keupayaan pertahanan tradisional. Dron FPV boleh menyusup ke kawasan sempit, menyerang dari arah yang tidak dijangka dan bergerak hampir senyap.
Keupayaan dron untuk membawa bahan letupan kecil namun berbahaya menyebabkan ia menjadi antara ancaman paling ditakuti di medan perang hari ini.
Dalam konteks itu, peluru anti-dron 5.56×45 mm menawarkan beberapa kelebihan penting.
Seperti kos pengeluaran yang rendah dan efektif. Jika dibandingkan dengan peluru berpandu anti-dron atau sistem laser, harganya jauh lebih rendah. Ini menjadikan peluru ini pilihan realistik bagi negara yang ingin memperkukuh pertahanan tanpa melibatkan kos besar.
Selain itu, peluru 5.56 mm ini mudah untuk diintegrasikan dan dibawa ke mana-mana. Ia tidak memerlukan infrastruktur baharu atau sistem sokongan teknikal untuk membawanya. Anggota hanya perlu menambah beberapa kelopak peluru khusus ini dalam beban operasi mereka.

Penggunaan sistem anti dron berasaskan RF jammer lazimnya melibatkan kos operasi dan penyelenggaraan yang jauh lebih tinggi, sedangkan peluru 5.56 mm menawarkan pilihan yang lebih ringkas dan ekonomi untuk menewaskan ancaman dron pada jarak dekat. Foto: Shutterstock
Dengan peluru kecil ini, anggota pasukan dapat memberi tindak balas segera. Tidak seperti sistem besar yang memerlukan masa untuk digerakkan, raifal infantri sentiasa berada di tangan askar. Ancaman dron yang muncul tiba-tiba boleh dihadapi dalam masa beberapa saat.
Transformasi senyap dalam dunia pertahanan udara
Peluru anti-dron 5.56 mm ialah perubahan senyap tetapi signifikan dalam peperangan moden. Ia bukan sahaja mengubah fungsi peluru infantri, tetapi juga mengubah cara tentera memahami konsep pertahanan udara jarak dekat.
Daripada bergantung sepenuhnya pada sistem berteknologi tinggi, kini pertahanan udara boleh berada dalam poket setiap askar. Inovasi ini menjadikan pertahanan udara semakin mudah diakses, murah dan praktikal.
Pada masa hadapan, semakin banyak negara dijangka membangunkan peluru anti-dron mereka sendiri.
Dengan peningkatan penggunaan dron dalam semua konflik global, peluru kecil seperti ini berpotensi menjadi standard dalam kit infantri sama seperti peluru tracer atau armor-piercing pada era sebelumnya.
Masa depan anti-dron
Peluru anti-dron 5.56 mm mewakili gabungan unik antara keperluan taktik dan realiti medan perang moden. Sama ada di Ukraine atau di Amerika Syarikat, peluru ini memberi nafas baharu kepada peranan infantri dalam menghadapi ancaman udara berskala kecil.
Daripada sekadar peluru serangan darat, 5.56×45 mm kini berevolusi menjadi komponen penting pertahanan udara moden.
Ini menjadi membuktikan bahawa dalam era dron, jawapan kepada ancaman kompleks kadangkala hadir dalam bentuk paling sederhana seperti sebuah peluru kecil yang direka dengan bijak.-airtimes.my
#AirTimesNews #TeknologiPertahanan #5.56mm #AntiDron #PertahananUdara #SistemAntiDron #KeselamatanGlobal #PerangModen
