SUBANG, 19 NOV – Kumpulan terakhir Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada Selasa, sekali gus menandakan tamatnya penugasan setahun pasukan itu di bawah misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
Ketibaan kumpulan keempat yang melibatkan seramai 209 anggota itu disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Kepulangan ini melengkapkan jumlah keseluruhan 854 anggota daripada ketiga tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia bersama elemen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Kementerian Pertahanan.
Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dalam ucapannya merakamkan penghargaan terhadap profesionalisme seluruh anggota yang menyempurnakan tugas dalam persekitaran operasi yang mencabar.
Beliau turut menyatakan bahawa lawatan operasinya ke Lubnan bermula 13 November lalu memberi ruang untuk menilai secara langsung kesiapsiagaan, keperluan keselamatan dan kebajikan anggota yang ditempatkan di luar negara.
“Penglibatan berterusan Malaysia dalam misi pengaman PBB mencerminkan peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai angkatan yang berwibawa, dihormati dan komited terhadap keamanan sejagat.
“Usaha ini bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di persada antarabangsa, malah memperkukuh keupayaan ATM melalui pengalaman operasi sebenar di kawasan konflik,” katanya.
Majlis Pembubaran MALBATT 850-12 dijadualkan berlangsung pada 4 Disember ini di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai simbolik rasmi kepada penamatan penugasan kontinjen tersebut dalam misi UNIFIL.
Kepulangan kumpulan terakhir ini turut menandakan penyerahan sepenuhnya tanggungjawab operasi kepada MALBATT 850-13 yang kini meneruskan amanah negara di bawah UNIFIL.
MALBATT 850-12 telah diaturgerakkan ke Lubnan pada 6 November tahun lalu dan ditempatkan di Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin di selatan negara tersebut.
Sepanjang misi, pasukan melaksanakan rondaan keselamatan, pemantauan kawasan tanggungjawab serta aktiviti Civil-Military Cooperation (CIMIC) Bersama komuniti tempatan.
Konsistensi, profesionalisme dan disiplin tinggi sepanjang operasi telah membantu mengekalkan kestabilan di kawasan penugasan serta memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat. -airtimes.my
#Malbatt850-12 #ATM #UNIFIL #Malaysia #Airtimes
