Home DiskusiMasa depan dron ATM: Antara pengawasan strategik dan kemampuan serangan

Masa depan dron ATM: Antara pengawasan strategik dan kemampuan serangan

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Di ruang udara moden, dron menjadi antara teknologi paling dominan dalam ekosistem pertahanan global. Ia bukan sekadar alat pengintipan, tetapi juga simbol kebolehan sesebuah negara mengekalkan kawalan strategik di ruang udara dan maritim.

Bagi Malaysia, kemajuan ini bakal menentukan tempo kesiapsiagaan perairan serta keutuhan sistem pertahanan negara yang semakin kompleks, sekali gus membentuk hala tuju masa depan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kepentingan Dron kepada ATM

Dron kini menjadi antara aset terpenting dalam strategi pertahanan moden Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Keupayaannya meliputi pemantauan, pengawasan, simulasi latihan dan sokongan operasi lapangan menjadikan dron sebagai pelengkap utama kepada sistem pertahanan konvensional.

Melalui kelebihan capaian jauh dan ketepatan imej masa nyata, dron mampu memantau kawasan sukar dicapai dengan lebih cepat dan menjimatkan masa.

Dalam konteks ketenteraan, teknologi ini digunakan untuk misi pemantauan perairan, sempadan serta operasi pengawasan berteknologi tinggi yang menuntut tahap koordinasi dan keselamatan maksimum.

Lebih penting, penggunaan dron mengurangkan risiko terhadap anggota di lapangan dengan melaksanakan tugasan berisiko tinggi tanpa pendedahan terus kepada bahaya. Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesawat berawak juga membolehkan liputan pengawasan dilaksanakan secara berterusan di kawasan yang luas.

Dilengkapi kamera elektro optik, radar mini dan pautan data selamat, dron mampu menghantar gambaran situasi secara masa nyata dengan ketepatan tinggi. Maklumat ini mempercepatkan proses pembuatan keputusan dan membolehkan tindakan taktikal dirancang serta dilaksanakan dengan lebih pantas dan berfokus.

Aset sedia ada ATM

ATM kini menilai serta mengoperasikan pelbagai jenis dron yang merangkumi darat, laut dan udara, sekali gus memperlihatkan perubahan besar dalam pendekatan pertahanan negara.

Sistem ANKA bakal menjadi aset udara tanpa pemandu utama TUDM apabila diterima sepenuhnya menjelang 2026, dijangka meningkatkan keupayaan pengawasan jarak jauh serta memperkukuh operasi strategik Angkatan Tentera Malaysia di ruang udara dan maritim. Foto: FB TUDM

Dalam era ancaman yang semakin kompleks, dron bukan lagi sekadar alat pemerhatian, tetapi menjadi komponen strategik yang menghubungkan setiap cabang perkhidmatan di bawah satu rangka kawalan operasi menyeluruh.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berada di barisan hadapan dalam penggunaan sistem tanpa pemandu apabila mengoperasikan ScanEagle, aset maritim berkeupayaan risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR) di bawah Skuadron 601.

Pesawat ini diterima melalui inisiatif keselamatan bersama Amerika Syarikat dan telah digunakan secara aktif dalam rondaan serta pemantauan maritim.

Keupayaannya untuk beroperasi tanpa landasan panjang membolehkan ia dilancar terus dari kapal, memberi kelebihan taktikal kepada TLDM dalam misi pengawasan di perairan strategik negara.

Sementara itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang bersiap sedia untuk pengoperasian sistem MALE-UAS “ANKA”, pesawat tanpa pemandu jarak jauh keluaran Turkish Aerospace.

Kontrak yang telah dimeterai pada pameran LIMA 2023, menandakan langkah besar dalam agenda transformasi pertahanan udara negara.

Latihan teknikal telah dijalani bagi jurutera dan juruteknik TUDM di Ankara sebagai persediaan awal menerbangkan dron UAS berkenaan. ANKA dijangka meningkatkan kemampuan pengawasan jarak jauh serta keupayaan operasi berterusan di ruang udara dan maritim.

Dalam masa sama, Tentera Darat Malaysia (TDM) turut memperkukuh keupayaan darat melalui penggunaan FlyEye, sistem dron taktikal ringan yang digunakan untuk peninjauan dan sokongan operasi lapangan. Dron ini memberi kelebihan visual kepada pasukan hadapan, membolehkan mereka menilai keadaan sebenar di medan sebelum membuat keputusan taktikal.

Selain itu, TDM juga meneroka konsep dron pandang pertama (FPV) dan sistem dron kamikaze bagi kegunaan masa depan. Walaupun masih di peringkat ujian dan demonstrasi, pendekatan ini mencerminkan kesediaan Tentera Darat untuk menyesuaikan diri dengan corak peperangan baharu yang lebih berasaskan teknologi.

Pengawasan dan Serangan

Dalam pratikan sekarang, Malaysia jelas menumpukan kepada kemampuan pengawasan. Sistem MALE seperti Anka dan platform pengawasan maritim ScanEagle memberi keupayaan rintis yang kukuh untuk melihat jauh dan lama, tetapi ia lebih tertumpu kepada peranan ISR berbanding serangan langsung.

Anka dijangka menambah mata telus strategik TUDM, namun ia masih platform pengintipan utama dalam fasa penerimaan dan integrasi.

Dron kamikaze hasil inovasi Tentera Darat Malaysia mencerminkan keupayaan tempatan membangunkan sistem serangan kos rendah yang berpotensi memperkukuh operasi taktikal masa depan. Foto: FB TDM

Sebaliknya, kapasiti serangan yang berpunca daripada loitering munitions atau dron kamikaze di peringkat ATM masih bersifat terhad dan kebanyakannya melalui inisiatif industri tempatan atau projek demonstrasi seperti ‘Todak’ oleh Mindmatics yang kini dalam fasa P&D dan komersialisasi selepas pameran DSA 2024.

Ini bermakna ATM belum lagi memiliki armada serangan berskala seimbang yang boleh digabungkan secara rutin dengan rangkaian pengawasan sedia ada.

Penggunaan dron pengawasan dan serangan yang seimbang boleh dirujuk kepada konflik Ukraine-Rusia, di mana kedua dua pihak mempercepatkan produksi dan penggunaan dron serangan bersama dron pengawasan.

Evolusi cepat dron kamikaze, FPV bersenjata dan loitering munitions menukar sifat serangan dan pertahanan, dengan kegunaan meluas untuk menjejaskan artileri, logistik dan kawalan medan. Fenomena ini menunjukkan bagaimana gabungan pengawasan berterusan dan muatan serangan murah boleh memberi kelebihan taktikal besar.

Oleh itu, sekiranya Malaysia mahu bergerak ke arah kemampuan serangan bersepadu, ATM perlu merangka pelan pemerolehan yang seimbang, memastikan latihan, kawal selia dan kerangka perundangan tersedia sebelum sebarang skala operasi serangan diperluaskan.

Cabaran Teknologi dan Integrasi

Integrasi dron ke dalam struktur operasi ATM bukan sekadar membeli platform dan melepaskannya ke udara. Cabaran teknikal yang paling ketara ialah jaminan ketersambungan dan keselamatan pautan data.

Sistem UAS bergantung pada rangkaian komunikasi berterusan untuk penghantaran imej dan kawalan jauh di mana gangguan elektronik atau serangan siber boleh memutuskan pautan dan menukar aset berharga menjadi liability.

Oleh itu, keperluan untuk sambungan yang tahan gangguan, saluran terenskripsi dan pengurusan spektrum yang agresif menjadi keutamaan dalam setiap perancangan pengoperasian.

Aspek kebolehpercayaan dan penyelenggaraan juga menuntut perhatian. Platform MALE dan sistem taktikal memerlukan rantaian bekalan bagi ganti ganti bahagian, kepakaran penyenggaraan dan fasiliti logistik yang sesuai.

Tanpa infrastruktur sokongan yang mantap, ketersediaan operasi akan merosot dan kos keseluruhan projek meningkat. Ini mendorong perlunya rancangan penyelenggaraan berfasa, latihan teknikal dalaman dan perjanjian sokongan bersama pembekal yang jelas tentang ketersediaan alat ganti.

Selain itu, integrasi data dan interoperabiliti antara perkhidmatan turut menjadi cabaran dalam penggunaan dan pengawalan dron. Dron menghasilkan aliran data besar dari kamera elektro optik, radar sintetik dan sensor lain yang mesti diselaraskan dengan sistem komando dan kawalan Arm.

ScanEagle di bawah Skuadron 601 TLDM berperanan sebagai ‘mata’ utama pertahanan maritim negara, melaksanakan misi risikan dan pengawasan di perairan strategik Malaysia. Foto: FB TLDM

Tanpa piawaian format data dan protokol komunikasi yang seragam, maklumat kritikal mungkin tidak dapat disalurkan tepat pada masanya kepada unit darat, kapal atau pesawat berawak. Oleh itu standard teknikal dan latihan bersama merentas perkhidmatan perlu diutamakan supaya dron benar benar menyumbang kepada operasi berbilang domain.

Impak Strategik dan Diplomatik

Penggunaan dron memperkukuh kedudukan strategik Malaysia dalam menjaga kedaulatan maritim dan ruang udara. Keupayaannya memantau pantai, laluan perdagangan serta kawasan sumber di Selat Melaka dan Laut China Selatan meningkatkan kesedaran domain maritim dan membolehkan pengesanan awal terhadap aktiviti haram atau pencerobohan sumber negara.

Namun, pengoperasian dron bersenjata membawa implikasi diplomatik yang perlu diurus dengan berhati-hati.

Dalam suasana keselamatan serantau yang sensitif, ketelusan dasar dan penyelarasan dengan rakan ASEAN amat penting untuk mengelakkan salah tafsir serta mengekalkan kepercayaan strategik.

Penggunaan dron yang beretika dan selaras dengan undang-undang antarabangsa juga menonjolkan Malaysia sebagai negara bertanggungjawab dalam aplikasi teknologi pertahanan moden.

Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh diplomasi keselamatan, malah membuktikan bahawa ATM mampu bergerak seiring kemajuan global tanpa mengorbankan prinsip kemanusiaan dan kestabilan serantau.

Malaysia kini berada pada fasa penting untuk mentakrif masa depan dron tentera. Keputusan dasar mesti menyeimbangkan keperluan pengawasan dan keupayaan serangan dengan tanggungjawab yang jelas.

Kejayaan pelaksanaan bergantung kepada latihan operator, integriti data serta pelaburan teknologi yang berterusan. Dengan pendekatan berfasa dan berpandukan undang undang serta etika operasi, dron mampu menjadi pemangkin utama kepada keselamatan dan kedaulatan negara.-airtimes.my

#AirTimesNews #Diskusi #ATM #DronATM #AnkaUAS #ScanEagle #TeknologiPertahanan #DronTempur #KeselamatanMaritim

Related Articles

Leave a Reply