Pengumuman Perdana Menteri mengenai pemberian wang bantuan SARA sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia telah mencetuskan pelbagai reaksi.
Dengan anggaran 22 juta rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang layak menerima bantuan tersebut bermakna kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion
Ini merupakan jumlah yang sangat besar yang mana hasrat kerajaan adalah untuk mengurangkan beban rakyat
Bagaimana pun, persoalan yang timbul ialah apakah keutamaan ini benar-benar memberikan impak jangka panjang berbanding pelaburan dalam aspek kritikal lain seperti pertahanan negara?
Bantuan RM100 secara tunai kepada setiap individu tanpa mengira latar belakang mungkin dilihat sebagai satu langkah populis yang bersifat menyeluruh.
Ia dilaksanakan atas dasar prihatin terhadap beban rakyat, terutamanya dalam menghadapi kenaikan harga barang dan ketidaktentuan ekonomi global.
Jika kerajaan dengan mudah boleh meluluskan peruntukan RM2.2 bilion sedemikian, bermakna ia bukanlah isu besar untuk melaksanakan pembangunan pertahanan.
Tidak timbul soal negara hendak berperang dengan siapa kerana aset-aset pertahanan yang diperlukan dikategori sebagai mendesak.
Dengan negara dilihat sangat berhati-hati dalam membuat keputusan pembelian pertahanan, tetapi sekiranya wang sebanyak itu dibelanjakan maka ia dapat mengisi kelompongan yang diperlukan.
Dalam aspek ekonomi pertahanan, kesan strategiknya mungkin jauh lebih besar.
Peruntukan RM2.2 bilion ini sebenarnya boleh digunakan untuk memperkukuhkan pertahanan negara yang kini berada dalam keperluan mendesak.
Senarai aset pertahanan yang boleh diperoleh dengan nilai tersebut adalah sangat signifikan. Antaranya:
- 136 buah kenderaan perisai Tarantula HMAV MILDEF (RM1.88 bilion)
- 16 helikopter AW189, jika harga sebuah sekitar RM132 juta (RM2.1 bilion)
- 10 pesawat FA-50M (RM2.1 bilion)
- 12 pesawat J-10C Chengdu (RM2.1 bilion)
- 65 kereta kebal K2 Black Panther (RM2.15 bilion)
- 7 buah kapal ronda pesisir APMM (RM2.1 bilion)
- Kos RM2.2 bilion boleh menggantikan kesemua meriam 105mm sedia ada dengan Nexter LG1 termasuk membeli 36 laras meriam Caesar 155mm SPH
- 1 bateri sistem pertahanan udara KM-SAM II (Cheongung-II) (RM1.5 bilion)
- 1 hingga 2 bateri sistem peluru berpandu jarak sederhana HQ-16 (RM610–705 juta setiap satu)
Sebahagian daripada aset-aset yang disenaraikan telah lama dirancang hendak dimiliki tetapi masih belum kesampaian.
Perolehan sistem pertahanan udara aras sederhana misalnya telah dirancang sejak 1999 lagi tetapi gagal dilaksanakan atas alasan yang pelbagai.
Rejimen kereta kebal Tentera Darat pula masih tidak bertambah dan hanya selesa dengan angka 48 buah yang dibeli 20 tahun lalu.
Sehubungan itu, pelaburan dalam aset-aset ini bukan sahaja akan memperkukuhkan kedaulatan negara dari sudut maritim, ruang udara dan daratan, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan industri pertahanan tempatan.
Ia berpotensi mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta penguasaan teknologi strategik melalui syarikat pertahanan tempatan yang bekerjasama dalam perolehan nanti.
Dari sudut politik, bantuan tunai secara langsung memberikan kesan segera kepada sentimen rakyat, yang penting bagi kerajaan dalam mengekalkan sokongan massa.
Cuma, keutamaan terhadap pertahanan adalah keperluan yang tidak boleh dipandang ringan daripada sudut strategi negara lebih-lebih lagi dengan perkembangan geopolitik serantau yang mempunyai cabaran tersendiri.
Keengganan untuk melabur secara agresif dalam sistem pertahanan mungkin membayangkan sikap terlalu berhati-hati kerajaan dalam aspek ketenteraan.
Sedangkan negara-negara jiran giat memodenkan angkatan mereka termasuk negara yang lebih miskin dari Malaysia.
Ini boleh menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam perlumbaan pertahanan serantau yang semakin kompetitif.
Pemberian bantuan RM100 kepada rakyat memang memperlihatkan komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban hidup.
Apabila dibandingkan dengan keperluan jangka panjang dan kesan strategik pelaburan dalam pertahanan, keputusan tersebut wajar dinilai semula dari sudut keutamaan nasional.
Wang sebanyak RM2.2 bilion, jika digunakan untuk memperkukuh pertahanan negara, boleh membawa impak besar bukan sahaja terhadap keselamatan, malah ekonomi negara dalam jangka panjang.
Soalnya, adakah kerajaan bersedia mengimbangi antara kehendak rakyat untuk bantuan segera dengan keperluan negara terhadap keselamatan berterusan?
