Home Pertahanan dan Keselamatan Nahas CN235 tidak jejas kesiagaan TUDM – Menteri Pertahanan

Nahas CN235 tidak jejas kesiagaan TUDM – Menteri Pertahanan

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 28 JULAI – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus mengoperasikan pesawat CN235 meskipun berlaku dua insiden kemalangan membabitkan pesawat jenis itu, termasuk yang terbaru di Kuching, Sarawak pada 23 Jun lalu.

Menteri Pertahanan menjelaskan bahawa pesawat CN235-220M masih berada dalam tahap operasi yang baik dan kejadian pada tahun 2016 serta 2025 adalah berbeza dari segi punca dan kesan. Oleh itu, keupayaan operasi serta kesiapsiagaan TUDM secara keseluruhan tidak terjejas.

“Insiden tersebut tidak menjejaskan kesiapsiagaan TUDM. Laporan siasatan akan menjadi asas penting bagi memperkemaskan prosedur keselamatan penerbangan dan penyelenggaraan pesawat,” katanya dalam penyataan jawapan lisan di Dewan Rakyat bertarikh 24 Julai lalu.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang bertanyakan rancangan masa hadapan Kementerian Pertahanan terhadap CN235 selepas insiden yang berlaku pada 23 Jun 2025.

CN235-220M merupakan pesawat pengangkut jarak sederhana yang dibangunkan bersama oleh syarikat CASA (Sepanyol) dan IPTN (Indonesia). Malaysia mula menerima pesawat ini pada awal 1990-an dan ia digunakan dalam pelbagai tugasan termasuk operasi taktikal, logistik udara serta rondaan maritim.

Ketika ini, TUDM mengoperasikan lapan buah pesawat CN235 yang terdiri daripada tiga pesawat utiliti, tiga pesawat rondaan maritim (Maritime Surveillance Aircraft) dan dua pesawat VIP.

Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa Lembaga Siasatan (Board of Inquiry) sedang menjalankan siasatan penuh ke atas insiden terbaru bagi memastikan sebarang langkah penambahbaikan keselamatan dapat diambil secara menyeluruh. – airtimes.my

Leave a Reply