India terus memperkukuh keupayaan udara strategiknya dengan merancang untuk meningkatkan bilangan peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) dalam inventori Tentera Udara India (IAF).
Menurut laporan Organisasi Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan India (DRDO), negara itu kini giat memajukan sistem peluru berpandu generasi baharu, Astra Mk-II, sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkat keupayaan tempur udara secara menyeluruh.
Astra Mk-II merupakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak luar penglihatan (BVR) yang direka khusus untuk memberi kelebihan taktikal kepada IAF dalam misi serangan jarak jauh, sekali gus mengukuhkan kedudukan India dalam peperangan udara moden.
Astra senjata senyap India dari jarak jauh
Astra ialah keluarga peluru berpandu udara-ke-udara jarak luar penglihatan buatan India yang dibangunkan oleh DRDO untuk kegunaan Tentera Udara dan Tentera Laut India.
Astra Mk-II merupakan versi yang lebih canggih berbanding model terdahulu, Astra Mk-I. Ia direka untuk meningkatkan jangkauan serangan kepada lingkungan antara 130 hingga 160 kilometer, bergantung kepada altitud pelancaran.
Misil ini dilengkapi dengan pemacu roket dwi-denyut yang mengekalkan daya pecutan dalam dua fasa penerbangan serta disepadukan dengan fius jarak jenis laser dan pencari radar aktif AESA buatan tempatan, menjadikannya antara peluru berpandu BVR paling maju dalam program pembangunan India setakat ini.

Pesawat Su-30MKI milik Tentera Udara India menjadi tulang belakang integrasi sistem Astra Mk-II, menandakan anjakan besar dalam keupayaan serangan udara jarak jauh India. Foto X: tomori
Astra Mk-II turut disepadukan dengan pesawat pejuang Su-30MKI, iaitu pesawat tempur pelbagai peranan yang memiliki keupayaan manuver tinggi, kapasiti senjata besar serta sistem avionik moden telah menjadikannya padanan ideal untuk pengoperasian peluru berpandu generasi baharu ini.
BVR kuasa pemusnah sebelum musuh dapat melihat
Beyond Visual Range (BVR) merujuk kepada peluru berpandu udara-ke-udara yang direka untuk menyerang sasaran dari jarak melebihi 50 kilometer iaitu di luar lingkungan penglihatan mata kasar juruterbang, sekaligus membolehkan serangan dilancarkan lebih awal sebelum musuh muncul dalam radar atau visual.
Peluru berpandu BVR seperti Astra Mk-II membolehkan serangan dilancarkan jauh sebelum pesawat musuh berada dalam jarak visual, sekaligus memberikan kelebihan mutlak dalam dogfight moden.
Dalam ujian penerbangan 2024 oleh pihak DRDO, misil ini berjaya melepasi jarak sasaran awal 130 kilometer dan mengekalkan jejak stabil sepanjang fasa pertengahan penerbangan.

Astra Mk-II buatan DRDO meluncur deras merentas ruang udara dengan reka bentuk aerodinamik dan pacuan berteknologi tinggi yang mencerminkan kemajuan strategik India dalam pembangunan peluru berpandu serta aspirasi menguasai peperangan udara jarak jauh. Foto X: idrw
Dalam konteks peperangan udara masa kini, keupayaan untuk mengesan, mengunci dan memusnahkan sasaran dari jarak selamat menjadi antara penentu utama keberhasilan sesuatu misi.
Selain itu, pembangunan Astra Mk-II juga merupakan tindak balas India terhadap peluru berpandu generasi baharu seperti PL-15 yang digunakan oleh jet tempur JF-17 Block III Pakistan dan pesawat J-20 milik China, serta sistem BVR lain milik kuasa besar dunia.
Dominasi udara global ditentukan oleh peluru BVR
Peluru berpandu Beyond Visual Range kini menjadi elemen penting dalam strategi dominasi udara global. Amerika Syarikat telah mengoperasikan AIM-120 AMRAAM, peluru berpandu BVR yang terbukti berkesan dalam pelbagai konflik sejak 1990-an.
China pula mempertaruhkan PL-15, yang dianggarkan mempunyai jangkauan lebih 200 kilometer dan disepadukan dengan pesawat pejuang generasi kelima J-20. Rusia juga memperkenalkan R-77M, versi terkini daripada keluarga RVV-AE yang dilengkapi dengan radar aktif dan sistem kawalan penerbangan digital.

Perebutan kuasa udara bermula dengan peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR), termasuk PL-15E kini menjadi lambang kemajuan teknologi ketenteraan China dalam memperkukuh dominasi udara strategiknya. Foto X: Varun
Persaingan ini mendorong inovasi dalam teknologi pendorong roket, penderia gelombang mikro dan algoritma panduan lanjutan. Penganalisis ketenteraan melihat keupayaan menjejak sasaran rentas spektrum serta ketahanan terhadap gangguan elektronik sebagai faktor kritikal keberkesanan sistem BVR.
Di Asia Selatan, kemampuan Astra Mk-II menyumbang kepada keseimbangan strategik. Ia membolehkan India mempertahankan ruang udara sensitif termasuk di perbatasan Himalaya serta kawasan operasi yang strategik.
Langkah strategik ke arah kuasa udara baharu
Pembangunan Astra Mk-II bukan sekadar pencapaian teknologi, tetapi juga merupakan manifestasi aspirasi India untuk mencapai keupayaan udara kendiri dan bersaing dalam liga kuasa besar dunia.
Dalam persekitaran keselamatan serantau yang semakin mencabar, keupayaan melancarkan serangan dari luar lingkungan penglihatan memberi kelebihan signifikan dalam menentukan dominasi udara.
Dengan kemajuan Astra Mk-II, India menghantar mesej jelas bahawa negara itu bukan sekadar mengejar, melainkan bersedia untuk mendahului dalam perlumbaan pembangunan sistem persenjataan udara generasi akan datang.-airtimes.my
#AirTimes #India #AstraMk-II #DRDO #IAF #BVRMissiles #PeperanganUdara #TeknologiKetenteraan #DominasiUdara