Dalam ucapan pembukaan Shangri-La Dialogue 2025, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, memperkenalkan semula satu slogan lama tetapi dengan penegasan yang baharu iaitu “Peace through strength.” Prinsip ini kini menjadi teras kepada strategi keselamatan Indo-Pasifik yang dibawa oleh pentadbiran Donald Trump.
Bagi Hegseth, kekuatan tentera bukan sekadar ukuran kuasa fizikal. Ia dianggap sebagai alat diplomatik yang berperanan mengekalkan kestabilan. Amerika tidak mencari musuh, tegas beliau, tetapi tetap bersedia jika diperlukan. Ketegasan ini digambarkan sebagai pendekatan baharu dalam membina keamanan menerusi kesiapsiagaan dan kekuatan yang dihormati.

Kekuatan ketenteraan dilihat sebagai salah satu faktor cegah rintang dalam menangani tekanan geopolitik. Foto: 1st Fighter Wing
Ucapan beliau mengandungi mesej jelas tentang perubahan haluan dasar keselamatan Amerika. Hegseth menolak pendekatan lemah dan penuh retorik yang menurutnya mendominasi pentadbiran sebelumnya. Sebaliknya, pendekatan baharu ini digambarkan sebagai berteraskan realiti, kepentingan nasional dan prinsip rasional.
Tiga keutamaan utama telah diketengahkan oleh Hegseth. Pertama, mengembalikan etos pahlawan dalam kalangan anggota tentera. Kedua, membina semula kekuatan ketenteraan Amerika. Ketiga, mengukuhkan keupayaan untuk mencegah ancaman.
Di bawah etos pahlawan, beliau menegaskan bahawa manusia lebih penting daripada perkakasan. Tentera akan dinilai berdasarkan merit dan keupayaan sebenar, tanpa mengira jantina atau warna kulit. Jika seseorang boleh menjalankan tugas, mereka akan berada dalam barisan. Jika tidak, mereka tidak akan diterima. Pendekatan ini menurutnya sedang meningkatkan moral, tahap latihan dan kesediaan tempur dalam kalangan anggota tentera Amerika.
Perkara kedua yang disentuh ialah peningkatan besar dalam pelaburan pertahanan. Bajet pertahanan mencecah lebih satu trilion dolar dengan peningkatan sebanyak 13 peratus. Amerika kini sedang memperkenalkan pesawat generasi keenam F-47, pengebom siluman B-21, kapal selam baharu, senjata hipersonik dan pelbagai sistem tanpa pemandu. Menurut Hegseth, kekuatan ini akan menghalang musuh daripada bertindak kerana mereka tahu tentera Amerika mempunyai keupayaan untuk menang.
Namun begitu, matlamat utama strategi ini adalah untuk mencegah peperangan. Hegseth menyelar dasar terdahulu yang menurutnya menyebabkan kehilangan kawalan sempadan, peningkatan pencerobohan oleh Rusia dan Iran, serta kelemahan dalam menghadapi ancaman China. Semua ini, katanya, akan berubah di bawah kepimpinan baharu.
Hegseth menegaskan bahawa pertahanan tidak boleh hanya difokuskan ke luar negara. Ia mesti bermula di tanah sendiri. Isu kawalan sempadan selatan Amerika disebut sebagai keutamaan utama kerana pencerobohan secara besar-besaran dianggap sebagai ancaman keselamatan negara.
Beliau juga menyebut tentang keperluan mempertahankan kepentingan strategik seperti Terusan Panama yang kini dilihat berada di bawah pengaruh China. Menurut beliau, China tidak membina terusan itu dan Amerika tidak akan membenarkan pihak luar menggunakannya sebagai senjata geopolitik.

Hegseth menegaskan kekuatan ketenteraan bukanlah sekadar untuk berperang tetapi sebagai persediaan untuk hadapi sebarang kemungkinan. FotoL Command Destroyer Squadron 7 US Navy
Walaupun strategi yang dibentangkan sarat dengan retorik ketenteraan, Hegseth menegaskan bahawa Amerika tidak mencari konflik. Sebaliknya, kekuatan yang dibina adalah untuk mencegah perang dan mengekalkan keamanan. Prinsip ini disifatkan sebagai pendekatan rasional yang perlu dikongsi oleh semua negara yang cintakan keamanan.
Namun, pendekatan ini turut menimbulkan kebimbangan. Penganalisis keselamatan memberi amaran bahawa peningkatan tekanan ketenteraan terhadap China boleh menjejaskan kestabilan serantau. Dalam masa yang sama, penyokong dasar ini berhujah bahawa hanya kekuatan yang mampu mengekalkan keseimbangan kuasa di rantau yang semakin tegang.
“Peace through strength” bukan frasa baharu dalam wacana strategik Amerika. Namun, dalam konteks hari ini, ia diberi nafas dan dimensi yang lebih tegas. Ia bukan sekadar pengulangan dasar era Reagan, tetapi kini menjadi penegasan bahawa Amerika kembali ke Asia sebagai kuasa yang bersedia dan tidak akan berundur.
Hegseth menutup ucapannya dengan mengimbas kembali pengorbanan tentera-tentera Amerika dalam sejarah lalu. Beliau menyeru agar keamanan hari ini dibina atas landasan kekuatan dan kesediaan, bukan harapan semata-mata. Menurut beliau, keamanan hanya dapat dicapai jika pihak lawan tahu harga yang terpaksa dibayar sekiranya mereka bertindak.
Di kaca mata Amerika, mereka mahukan keamanan, tetapi keamanan yang dibina atas asas kekuatan sebenar. Itulah mesej yang ingin disampaikan oleh Hegseth dari pentas Shangri-La kepada seluruh rantau Indo-Pasifik. – airtimes.my
