LONDON, 2 JUN – Kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan rancangan membina sehingga 12 kapal selam serangan berkuasa nuklear serta pelaburan sebanyak £15 bilion dalam program pembangunan kepala peledak nuklear, sebagai sebahagian daripada Kajian Strategik Pertahanan 2025 yang diumumkan baru-baru ini.
Langkah itu menandakan anjakan ketara dalam dasar pertahanan UK, dengan penekanan kepada kesiapsiagaan konflik berskala besar serta pembangunan teknologi ketenteraan masa hadapan. Ia turut memperkukuh komitmen UK dalam pakatan AUKUS bersama Amerika Syarikat dan Australia.
Kapal selam generasi baharu yang dikenali sebagai SSN-AUKUS itu bakal menggantikan armada kelas Astute sedia ada dan dijangka mula beroperasi menjelang penghujung 2030-an. Kementerian Pertahanan UK menjangkakan pembinaan kapal selam tersebut akan menjana sehingga 30,000 pekerjaan berkemahiran tinggi, termasuk 30,000 tempat latihan perantisan dan 14,000 peluang graduan sepanjang sedekad akan datang.
Dalam masa sama, pelaburan besar ke dalam program kepala peledak nuklear akan menyokong armada baharu kapal selam kelas Dreadnought yang akan menggantikan armada Trident. Ia juga dijangka memperkukuh keupayaan serangan balas strategik serta menjamin kehadiran nuklear berterusan UK di laut dalam jangka panjang.
Perdana Menteri Sir Keir Starmer dalam kenyataannya menegaskan bahawa keselamatan negara ialah keutamaan utama dan menjadi asas kepada Pelan Perubahan kerajaan. Beliau menyatakan pelaburan ini penting untuk memastikan UK kekal selamat di tanah air dan dihormati di pentas antarabangsa.
Kajian Strategik Pertahanan 2025 turut merangkumi pembelian sehingga 7,000 unit senjata jarak jauh buatan tempatan, penubuhan pusat keselamatan siber baharu, serta pelaburan sebanyak £1 bilion dalam keupayaan digital. Di samping itu, kerajaan memperuntukkan lebih £1.5 bilion bagi membaik pulih dan menaik taraf perumahan anggota tentera sebagai sebahagian usaha meningkatkan kebajikan anggota angkatan bersenjata.
Namun begitu, beberapa pihak menyuarakan kebimbangan terhadap kemampuan kewangan kerajaan untuk memenuhi komitmen pertahanan jangka panjang. Sasaran kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada 3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2034 masih belum mendapat jaminan daripada Perbendaharaan. Setiausaha Pertahanan John Healey tidak dapat mengesahkan sama ada sasaran itu telah dipersetujui sepenuhnya.
Langkah ini dilihat sebagai satu manifestasi kesediaan UK untuk berdepan cabaran keselamatan global yang semakin rumit, termasuk ketegangan geopolitik di rantau Indo-Pasifik dan Eropah Timur.
– airtimes.my
