Serangan dron FPV, dalam konteks peperangan Ukraine-Rusia, lazimnya dikaitkan dengan pertempuran secara berhadapan di garisan tempur. Namun, perkara ini adalah berbeza dengan apa yang berlaku pada 1 Jun. Pada Ahad lalu, Rusia telah dimalukan oleh Ukraine menerusi satu serangan yang disifatkan oleh sesetengah entiti pro-Kremlin di Moskow sebagai seumpama serangan Pearl Harbor.
Bagi Ukraine, operasi itu bukan sekadar tindak balas terhadap serangan peluru berpandu. Ia mencerminkan keupayaan baharu yang menggabungkan penyusupan, teknologi dan kesabaran strategik. Bagi Rusia pula, insiden ini mencalarkan kredibiliti pertahanan dalam negerinya yang selama ini dianggap kebal.
Laporan media antarabangsa seperti Financial Times dan Associated Press menyatakan bahawa operasi ini dirancang selama lebih 18 bulan dan diberi nama kod Operation Spiderweb. Ia tidak dilaksanakan dari wilayah Ukraine, sebaliknya berpunca dari dalam Rusia sendiri. Dron jenis FPV diseludup masuk, disimpan secara rahsia dalam kabin kayu khas, dan dilancarkan dari trak komersial yang diubah suai.
Lima pangkalan udara strategik menjadi sasaran utama. Serangan dilaporkan berlaku di Dyagilevo (Ryazan), Belaya (Irkutsk), Ivanovo, Olenya (Murmansk), dan Voskresensk berhampiran Moscow. Lokasi-lokasi ini merupakan pangkalan bagi aset udara jarak jauh milik Rusia.
Antara pesawat yang dilaporkan musnah termasuk Tu-95 dan Tu-22M3, yang lazim digunakan untuk melancarkan peluru berpandu ke atas bandar-bandar Ukraine. Turut terkesan ialah pesawat kawalan amaran awal A-50. Imej satelit dan rakaman tidak rasmi menunjukkan kebakaran besar serta letupan susulan di kawasan parkir pesawat yang tidak dilindungi.
Lebih 40 pesawat dilaporkan musnah atau mengalami kerosakan besar. Kerugian dari segi aset udara sahaja dianggarkan melebihi AS$7 bilion. Setiap dron FPV yang digunakan dalam operasi ini hanya memerlukan kos beberapa ribu dolar. Namun, impaknya berjaya memusnahkan pesawat dan sistem bernilai puluhan hingga ratusan juta dolar seunit.
Kerosakan fizikal hanyalah satu aspek. Gangguan terhadap operasi udara strategik Rusia jauh lebih besar. Serangan ini juga mendedahkan kelemahan dalam sistem keselamatan dalaman, termasuk kegagalan mengesan dan menyekat penyusupan serta pelancaran dari kawasan sendiri.
Keadaan ini memberi isyarat jelas bahawa pangkalan udara yang terletak jauh dari garisan hadapan tidak lagi selamat sepenuhnya. Dengan serangan sebegitu, Ukraine menunjukkan keupayaannya bukan sekadar bertahan, malah mampu menyerang secara mendalam dan tepat.
Serangan ini menerima perhatian meluas dari pelbagai pihak. Di Rusia, beberapa saluran media yang pro-kerajaan menggambarkannya sebagai satu kejutan besar. Perbandingan dengan Pearl Harbor mencerminkan tahap trauma strategik yang dialami oleh sesetengah pihak. Terdapat desakan daripada tokoh-tokoh tertentu agar tindak balas besar dilakukan, termasuk serangan udara berskala penuh ke atas Ukraine.
Namun, sehingga kini tiada pengumuman rasmi dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Rusia mengenai bentuk tindakan balas yang dirancang. Kenyataan rasmi hanya menyifatkan serangan sebagai perbuatan keganasan dan tidak memperincikan kerugian sebenar.
Dalam kalangan pemerhati antarabangsa, Operation Spiderweb dilihat sebagai titik perubahan. Ia mengesahkan bahawa peperangan moden kini memberi kelebihan kepada taktik asimetrik, terutama apabila teknologi mudah akses seperti dron FPV digunakan secara bijak dan sistematik.
Operation Spiderweb dilancarkan ketika Ukraine bersedia menyertai rundingan damai yang dijadualkan berlangsung di Istanbul. Dalam konteks ini, operasi itu boleh dianggap sebagai pernyataan kekuatan yang dihantar kepada pihak lawan dan kepada dunia. Ukraine bukan sekadar bertahan, malah mampu mengubah landskap strategik dengan cara yang tidak dijangka.
Serangan ini juga meningkatkan keyakinan dalaman rakyat Ukraine serta pasukan pertahanannya. Dalam masa sama, ia memberi tekanan politik kepada Rusia yang sedang bergelut dengan ekonomi yang lemah dan sokongan awam yang semakin merosot.
Apa yang membezakan Operation Spiderweb daripada serangan terdahulu ialah sifatnya yang senyap, terancang dan menggunakan alat bersaiz kecil. Dalam satu malam, struktur besar sistem pertahanan udara Rusia kelihatan rapuh dan terdedah.
Serangan ini menandakan permulaan kepada bab baharu dalam peperangan Ukraine-Rusia. Teknologi dron yang dianggap kecil dan murah telah digunakan untuk menjatuhkan kekuatan udara yang selama ini dilindungi oleh imej dan retorik kuasa besar.
Operation Spiderweb bukan sahaja berjaya melumpuhkan pesawat, tetapi turut mencabar tanggapan umum terhadap konsep keselamatan dalam negara yang berkonflik. Dengan perancangan rapi, maklumat yang tepat dan sasaran strategik, Ukraine berjaya mencipta satu operasi yang akan dikenang dalam sejarah perang moden.
– airtimes.my
