Home DiskusiKolumnis: Tiga batalion baharu PGA perkukuh kawalan keselamatan Sabah dan Sarawak

Kolumnis: Tiga batalion baharu PGA perkukuh kawalan keselamatan Sabah dan Sarawak

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Kepentingan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah dan Sarawak tidak dinafikan kerana ketumbukan tersebut menjadi tunjang dalam keselamatan dan ketenteraman awam di sana.

Sebagai pasukan infantri polis, PGA di Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah panjang sejak era Pasukan Polis Hutan (PPH).

Di Sarawak, PPH semasa era Insurgensi memerangi ancaman pengganas komunis Paraku, manakala PPH di Sabah berdepan ancaman lanun dan keganasan maritim selain kekacauan dalam negeri.

Sepertimana lain-lain briged PPH, peranan pasukan infantri polis ini sejak ditubuh adalah bagi menyediakan satu pasukan simpanan khas untuk memelihara undang-undang.

Kemahiran PPH menyediakan pasukan ini untuk berdepan semua jenis ancaman dalam bentuk ketenteraman awam dan aktiviti subversif.

Ia juga berperanan membantu pasukan tentera di dalam operasi menentang gerila komunis dan penyusupan musuh di sempadan.

Briged PPH Sabah dan Sarawak, kemudiannya PGA terus berkembang dari segi struktur, kelengkapan dan keupayaan operasi demi menjaga kedaulatan wilayah sebelah sana.

Lima batalion PGA dalam Briged PGA Sabah ialah Batalion 14 (Tawau), Batalion 15 (Sandakan), Batalion 16 (Kinarut), Batalion 17 (Lahad Datu) dan Batalion 20 (Beluran).

Briged PGA Sarawak pula meliputi Batalion 10 (Sibu), Batalion 11 (Kuching) dan Batalion 12 (Miri).

Sejajar dengan keperluan keselamatan semasa, kepimpinan PDRM melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperbesarkan PGA menerusi penubuhan tiga batalion baharu di Sabah Sarawak.

Langkah ini bertujuan memperkukuh keselamatan di kawasan strategik, terutamanya di sempadan dan zon berisiko tinggi.

Tiga batalion baharu tersebut ialah di Sabah iaitu Batalion 21 PGA (Keningau) serta Batalion 22 PGA (Kunak) manakala Batalion 23 PGA di Sri Aman, Sarawak.

Tanggal 18 Mei memberi dimensi baharu yang mana dengan penambahan ini, jumlah keseluruhan batalion PGA di seluruh negara meningkat kepada 23 buah melibatkan lebih 12,000 anggota.

Tiga lagi briged PGA adalah di Semenanjung iaitu Briged Utara di Ulu Kinta (Perak), Briged Tengah di Cheras (Selangor) dan Briged Tenggara di Kuantan (Pahang).

Imbas kembali, kepimpinan PDRM merancang penubuhan batalion baharu bermula di Sabah susulan serangan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu pada 2013.

Cadangan mewujudkan batalion baharu di Kunak dan Kudat serta Beluran telah diluluskan pada sidang Parlimen pada 2014.

Atas keperluan, Batalion 20 PGA Beluran diwujudkan terlebih dahulu susulan insiden pencerobohan Lahad Datu.

Pada 6 November 2014, kertas kerja bagi mewujudkan dua batalion PGA berikutnya dikemukan kepada kerajaan pusat.

Penambahan tiga batalion sekala gus pembesaran Briged PGA Sabah menambah kekuatan PGA daripada ancaman luar.

Manakala di Sarawak, pada Mac 2023 sebanyak tujuh pos baharu PGA dibina bagi memperketat kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Kalimantan.

Antaranya Pos Raso (Lundu), Pos Stass (Bau), Pos Sapit (Padawan), Pos Tepoi (Serian) serta Pos Gua Ming, Pos Kaluh dan Pos Sungai Putong di Sri Aman.

KDN juga merancang membina jalan rondaan keselamatan sepanjang 77 kilometer dari Telok Melano, Lundu hingga ke Serikin, Bau di Sarawak bagi memastikan pelaksanaan tugas di sempadan negara dapat dijalankan secara lancar dan berkesan.

Turut diaksanakan ialah penstrukturan semula PGA dengan mewujudkan satu batalion baharu iaitu Batalion 23 PGA (Sri Aman).

Sehubungan itu, penubuhan tiga batalion baharu PGA di Sabah dan Sarawak mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara.

Langkah ini juga menunjukkan usaha proaktif dalam memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di kawasan strategik serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang ancaman.

Penambahan batalion ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan.

Seterusnya, memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di kawasan strategik dan membuktikan iltizam kerajaan dalam memperkukuhkan infrastruktur keselamatan.

Terdahulu, majlis bersejarah pembesaran PGA ini telah disempurnakan oleh Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Briged Sabah PGA di Kota Kinabalu.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bersama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), Dato’ Sri Azmi Abu Kassim.

Turut hadir Komander Briged PGA Sabah, SAC Datuk Abdul Rani Alias dan Komander Briged Sarawak PGA, SAC Dr Che Ghazali Che Awang.

Berucap dalam majlis tersebut, Saifuddin menekankan bahawa penubuhan ketiga-tiga batalion baharu itu merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan pelan keselamatan PDRM demi mengekalkan kedaulatan negara.

Tambahnya, PGA adalah salah satu elemen di bawah Jabatan KDNKA yang menjadi teraju utama dalam menjaga dan mengawal keselamatan sempadan darat negara.

Saifuddin kemudiannya menyempurnakan pemakaian lencana rasmi batalion baharu kepada pegawai pemerintah masing-masing.

Mereka ialah Superintenden Hairulnizam Rashid (Batalion 21 PGA), Superintenden Norman Chendan Philip (Batalion 22 PGA) dan Superintenden Frediel Nyambong (Batalion 23 PGA).

Related Articles

Leave a Reply