PUTRAJAYA, 30 MEI – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa kerajaan untuk bertindak menangani isu pemerdagangan manusia melibatkan rakyat negara di rantau Asia Tenggara ini secara menyeluruh dan berkesan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim hari ini, menyerahkan surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Kementerian Luar Negeri (KLN).
Surat itu mengandungi butiran 28 mangsa yang terkandas di Myanmar dan diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Konsular, KLN, Datuk Mohamad Ali Selamat di Wisma Putra, pada Jumaat.
“Kita ingin meminta, memohon dan merayu kepada yang dihormati, Dato’ Sri Anwar Ibrahim..Tolonglah, berikanlah perhatian yang serius, gunakan kesempatan sebagai Pengerusi ASEAN, supaya menjalankan komitmen yang lebih daripada komitmen sebelum ini,” tegasnya.
Beliau menegaskan, penyerahan tersebut bertujuan untuk mencadangkan agar peluang Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 digunakan bagi membanteras isu pemerdagangan manusia dengan secara menyeluruh, khususnya yang masih lagi berada di Myanmar.
Sehubungan itu, beliau juga menegaskan pihak ASEAN perlu bertanggungjawab dalam isu ini demi menyelamatkan warga Malaysia yang masih berada terperangkap di luar negara selepas terpedaya dengan sindiket penipuan.
“Setakat ini, saya tidak nampak usul perbincangan berkenaan pemerdagangan manusia yang sudah lama wujud, dibangkitkan dalam ASEAN,” katanya, yang turut menyatakan bahawa isu kewujudan ‘Scam Centres‘ khususnya di beberapa negara seperti Laos, Myanmar dan Kemboja seolah -olah tiada noktah.
Justeru, antara cadangan utama MHO, adalah dengan menubuhkan pasukan tindakan khas serantau bagi menyelaraskan siasatan usaha menyelamat dan pemulangan mangsa pemerdagangan manusia yang masih terperangkap.
Selain itu, memperkasa perjanjian dan protokol ASEAN sedia ada berkaitan, khususnya dari segi penguatkuasaan rentas sempadan dan pertukaran maklumat antara negara-negara ASEAN.
Dalam masa sama, MHO menggesa ASEAN untuk menutup pusat penipuan atau ‘Scam Centres‘ yang dikenal pasti masih aktif beroperasi dalam wilayah masing-masing.
Selain itu, Putrajaya perlu menggunakan tindakan diplomatik yang lebih agresif dalam memastikan nasib rakyat Malaysia yang terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara terbela.
Isu pemerdagangan manusia kini telah menjadi satu bentuk jenayah merentasi sempadan yang semakin membimbangkan, khususnya melibatkan rakyat Malaysia yang diculik, diperdaya dan seterusnya dibawa ke luar negara iaitu, di Kemboja, Laos dan Myanmar tanpa kerelaan. -airtimes.my
#Airtimes #Sindiketpenipuan #Scam #Myanmar #Laos #Kemboja #Malaysia
