Home GlobalLawatan rasmi PM Timor-Leste – Weststar, perluas kerjasama strategik sektor penerbangan serantau

Lawatan rasmi PM Timor-Leste – Weststar, perluas kerjasama strategik sektor penerbangan serantau

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 29 MEI – Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão membuat lawatan rasmi ke ibu pejabat Kumpulan Weststar di Kuala Lumpur, menjadi pemangkin dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam sektor penerbangan dan tenaga.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim, lawatan berprofil tinggi ini mencerminkan komitmen bersama bagi memperluas kerjasama dua hala, khususnya dalam penyediaan perkhidmatan penerbangan, sokongan industri tenaga dan pembangunan ekonomi serantau.

Beliau menjelaskan lagi, Jejak Weststar Aviation Services merupakan sebahagian daripada visi strategik syarikat untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia Tenggara, dengan menekankan keselamatan, kecemerlangan perkhidmatan dan pertumbuhan mampan.

“Ini bukan hanya kerjasama perniagaan semata-mata, tetapi satu perjalanan bersama yang dibina atas rasa saling menghormati dan keinginan untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara,” jelasnya.

Sementara itu, lawatan ini turut menandakan sokongan Weststar terhadap penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN.

“Kami percaya Timor-Leste berhak untuk berada dalam komuniti ASEAN dan Weststar sedia menyumbang melalui pembangunan infrastruktur serta modal insan serantau,” katanya.

Dalam pada itu, Weststar turut menjalin kerjasama dengan syarikat minyak dan gas milik negara Timor-Leste, Timor GAP, dan bakal menyaksikan pengoperasian helikopter AW139 bagi menyokong perkhidmatan utiliti, VIP dan Perubatan Kecemasan (EMS) di fasa seterusnya, untuk memperluaskan kehadiran mereka di negara tersebut.

“Tahun ini, kami telah mengembangkan operasi kami dengan menyediakan perkhidmatan sokongan penerbangan helikopter menerusi dua buah AW189 yang beroperasi di Dili, di bawah kontrak dengan Santos di medan Bayu Undan,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini dua misi EMS telah berjaya, termasuk penghormatan untuk mengangkut mendiang Padre Domingos Maubere, seorang pemimpin rohani tersohor Timor-Leste.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan, hubungan Weststar dan Timor-Leste telah bermula sejak 2014 menerusi penghantaran 10 unit kenderaan 4×4 General Service Cargo (GS Cargo) kepada Angkatan Pertahanan Timor-Leste.

Beliau diiringi delegasi kenamaan termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Sri Francisco Kalbuadi Lay; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama, Bendito dos Santos Freitas; serta Speaker Parlimen Kebangsaan, Maria Fernanda Lay.

Lawatan itu diakhiri dengan majlis makan malam tertutup, turut dihadiri tokoh terkemuka Malaysia, termasuk Tengku Laksamana Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah Al-Haj dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway, Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah. -airtimes.my

#Airtimes #Weststar #Timor-Leste #Penerbangan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply