Home Teknologi PertahananAirbus tawar A330 Multi Role Tanker Transport (MRTT) kepada Malaysia

Airbus tawar A330 Multi Role Tanker Transport (MRTT) kepada Malaysia

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 21 MEI— Airbus berminat untuk menawarkan pesawat A330 Multi Role Tanker Transport (MRTT) kepada Malaysia sebagai langkah memperkukuh keupayaan serta meningkatkan kecekapan operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketua Asia-Pasifik Airbus Defence and Space, Zakir Hamid berkata, pesawat itu bukan sahaja mampu memanjangkan jarak operasi pesawat pejuang malah turut memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tindak pertahanan negara.

“Airbus melihat A330 MRTT sebagai penyelesaian strategik untuk mempertingkatkan kecekapan operasi TUDM. Pesawat ini telah beroperasi di beberapa negara Asia Pasifik termasuk Australia, Singapura dan Korea Selatan,” katanya semasa ditemui di Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa (LIMA’25), hari ini.

Mengulas lanjut, A330 MRTT merupakan pesawat generasi baharu yang terbukti berkeupayaan dalam medan operasi sebagai “combat-proven”. Ia boleh membawa sehingga 111 tan bahan api tanpa memerlukan tangki tambahan iaitu jumlah tertinggi dalam kelasnya.

Dilengkapi dengan sistem pemindahan moden seperti Airbus Aerial Refuelling Boom System (ARBS) serta probe-and-drogue, pesawat ini turut menampilkan sistem penglihatan beresolusi tinggi yang membolehkan pemindahan bahan api dilakukan secara tepat dan selamat dalam pelbagai keadaan cuaca termasuk operasi malam.

Ciri keserasiannya dengan pelbagai jenis pesawat milik negara-negara rakan strategik juga menjadikan A330 MRTT sebagai aset bernilai tinggi dalam memperkukuh kerjasama pertahanan serantau.

Selain fungsi tanker, pesawat ini turut boleh dikonfigurasi untuk pelbagai misi lain termasuk pengangkutan tentera, kargo, dan evakuasi perubatan (MEDEVAC). Ia mampu membawa sehingga 300 anggota tentera atau 45 tan metrik kargo, sesuai bagi misi kemanusiaan dan bantuan bencana.

Penawaran ini dilihat seiring dengan aspirasi Malaysia untuk memodenkan aset udara dan meningkatkan kebolehoperasian bersama dalam misi serantau serta antarabangsa. Sekiranya diterima, A330 MRTT berpotensi menjadi tunjang baharu sistem sokongan udara TUDM, menggantikan platform sedia ada yang kian usang. -airtimes.my

#Airbus #Malaysia #A330MRTT #Asetpertahanan

Related Articles

Leave a Reply