LANGKAWI, 20 MEI – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) hari ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), menandakan permulaan edisi terbesar sejak penubuhannya pada 1991.
Bertemakan “Roar of Freedom”, persembahan pembukaan atau gambit LIMA’25 mempersembahkan keupayaan luar biasa aset udara negara, sekaligus memukau ribuan pengunjung dan delegasi antarabangsa yang hadir.
Antara aset utama yang menggegarkan ruang udara Langkawi dalam acara pembukaan termasuk pesawat pejuang SU-30MKM dan F/A-18D, pesawat pengangkut strategik A400M dan C130H Hercules, pesawat latihan PC-7 MKII, serta helikopter pelbagai guna AW-139, EC120B dan EC-725 Cougar.
Jumlah keseluruhan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) beraksi di ruang udara Langkawi ialah sebanyak 25 buah pesawat.
Mengulas lanjut, persembahan kemudiannya diserikan dengan pertunjukan aerobatik Russian Knights dari Rusia dan Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia yang dijangka mempamerkan aksi manuver ikonik seperti Jupiter Roll.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mempersembahkan pesawat pejuang SU-30MKM yang berwajah wajah baharu dengan gelaran ‘Toruk Makto’, diinspirasikan daripada makhluk legenda Toruk dalam filem Avatar.
Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam.
LIMA’25 edisi-17 kali ini menghimpunkan 860 pempamer dari dalam dan luar negara, termasuk syarikat terkemuka dalam industri aeroangkasa dan pertahanan global. Daripadanya, sebanyak 434 buah syarikat tempatan akan terlibat, manakala baki 426 adalah dalam kalangan industri antarabangsa.
Secara keseluruhan, sebanyak 57 pesawat udara dan 39 aset maritim dari pelbagai negara termasuk Turkiye, Singapura, Indonesia, India, Rusia, Thailand dan Amerika Syarikat mengambil bahagian.
Pameran LIMA’25 ini akan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2025, dengan penyertaan orang awam dibuka pada Jumaat hingga Sabtu. -airtimes.my
#LIMA’25 #Malaysia #TUDM #AirTimes #Langkawi