Home Teknologi PertahananLIMA 2025: Rusia akan pamer jet pejuang Su-57E di Malaysia

LIMA 2025: Rusia akan pamer jet pejuang Su-57E di Malaysia

by M.Daim
A+A-
Reset

LANGKAWI, 20 Mei – Entiti industri pertahanan Rusia, Rosoboronexport akan memperkenalkan pesawat pejuang generasi kelima terbaharu Su-57E pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa (LIMA) 2025 di Langkawi.

Perkara tersebut sepertimana dimaklumkan oleh Jabatan Perhubungan Awam syarikat berkenaan dalam satu kenyataan rasmi.

“Tema utama pameran kali ini adalah segmen aeroangkasa.

“Dalam kategori ini, syarikat akan mempamerkan pesawat pejuang generasi kelima Su-57E, yang dijangka menarik perhatian bukan sahaja pihak Tentera Udara Diraja Malaysia, tetapi juga negara-negara lain di Asia Tenggara.

“Kelebihan utama pesawat ini berbanding pesaingnya yang terhad ialah penglibatan berjayanya dalam operasi ketenteraan sebenar.

“Su-57E menyaksikan penggunaannya dalam konflik bersenjata menentang sistem serangan udara moden, pertahanan udara serta peperangan elektronik,” jelas kenyataan tersebut.

Kehadiran pesawat fizikal Su-57E jika benar bakal menjadi daya tarikan utama pada edisi LIMA kali ini.

Sebelum ini pesawat Su-57E hadir dan dipamerkan kepada umum semasa pameran Aero India 2025 pada Februari dan Zhuhai Air Show 2024 di China November tahun lalu.

Menurut Rosoboronexport, pengunjung dan bakal rakan kongsi turut berpeluang menyaksikan aksi pesawat pejuang ‘supermanuver’ Sukhoi Su-35S dan Su-30SM.

Kedua-duanya yang akan dipersembahkan oleh pasukan aerobatik terkenal Russian Knights.

Rosoboronexport juga akan memperkenalkan pesawat pengangkut gergasi Il-76MD-90A(E), yang mampu membawa muatan sehingga 60 tan sejauh 4,000 kilometer.

Pesawat ini boleh digunakan untuk membawa anggota tentera dan peralatan, operasi hantaran udara serta boleh diubah suai dengan pantas menjadi pesawat pemadam kebakaran atau hospital medan.

Tidak ketinggalan dipamerkan ialah helikopter tempur Rusia seperti Ka-52E dan Mi-28NME, serta helikopter pengangkut tentera Mi-171Sh.

Kesemua platform ini telah membuktikan keupayaan dan prestasi penerbangan tinggi sepanjang tempoh perkhidmatan.

Sebahagian daripada helikopter ini menjadi antara platform paling mendapat permintaan di Asia Tenggara.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia misalnya telah mengoperasikan empat helikopter Mil-Mi-17-1V sejak 1998. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply