KOTA BHARU, 14 MEI – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Pekrhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan kaji semula prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan oleh anggota pasukan keselamatan terutama ketika dalam operasi.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, insiden yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, semalam adalah satu tragedi yang di luar jangka dan tidak dapat dielakkan.
Katanya, untuk mengelak tragedi sama berulang, setiap agensi kerajaan perlu mengambil langkah awal membabitkan tahap keselamatan kenderaan yang digunakan, jumlah anggota yang patut berada di dalam satu kenderaan serta faktor keselamatan lain termasuk penggunaan tali pinggang keledar.
“Dalam hal ini, ia perlu dilihat kembali apakah pengangkutan yang sesuai digunakan oleh anggota dalam operasi yang disertai mereka, termasuk pergi ke sesuatu tempat untuk berkursus dan majikan ataupun kementerian perlu menyediakan pengangkutan yang sesuai kepada anggota yang berkaitan,” katanya.
“Bagaimanapun, CUEPACS yakin perkara itu telah pun dibuat sebaik mungkin sebelum satu pergerakan berlaku, namun disebabkan ia adalah suatu kemalangan, maka kita perlu melihat kembali langkah penambahbaikan yang bersesuaian dengan tugasan, khususnya FRU sama ada tugasan mereka dalam bentuk pergerakan biasa, operasi ataupun pergerakan kepada sesuatu ancaman yang lain,” katanya.