PADANG BESAR, 9 Mei – Hubungan ketenteraan antara Malaysia dan Thailand terus diperkukuh melalui inisiatif strategik persempadanan apabila Pos Sempadan Terkoordinasi Malaysia-Thailand di utara Semenanjung Malaysia dirasmikan.
Pos Sempadan itu telah dirasmikan secara bersama oleh Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Commander-in-Chief Tentera Darat Diraja Thailand (RTA), Jeneral Phana Klaewplodtok, pada Khamis.
Menurut TDM, pos yang terletak bersebelahan di kawasan sempadan kedua-dua negara merupakan manifestasi bersama TDM dan Tentera Darat Diraja Thailand, dalam meningkatkan kerjasama erat serta komitmen kedua-dua buah negara.
Tambahnya, kerjasama ini bagi memperkukuh keselamatan sempadan, mempertingkatkan koordinasi operasi serta mengukuhkan jaringan diplomatik pertahanan dua hala.
“Tentera Darat Malaysia yakin bahawa inisiatif seumpama ini bukan sahaja memperkukuh aspek keselamatan sempadan, malah turut mempererat hubungan baik dan saling percaya antara kedua-dua negara,
“Usaha ini juga dilihat sebagai satu penanda aras yang berpotensi menjadi model unggul kepada kerjasama ketenteraan serantau di rantau Asia Tenggaraa,”jelas TDM lagi.-airtimes.my
#sempadan #Malaysia #Thailand #TDM #RTA #possempadan #airtimes