KUALA LUMPUR, 15 April – PAS Pahang hari ini mendesak kerajaan Persekutuan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pencerobohan tanah secara besar-besaran di daerah Raub yang menurutnya telah berlarutan selama lebih 40 tahun tanpa tindakan tegas.
Pesuruhjayanya, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, tindakan kumpulan tertentu termasuk menyerahkan petisyen yang mengandungi lebih 400 tandatangan kepada Perdana Menteri dan Sultan Pahang baru-baru ini bukan sahaja mempertahankan penceroboh, malah disifatkan sebagai mencabar titah baginda serta kedaulatan negeri.
“Kami melihat ini bukan sekadar permohonan biasa. Ini cubaan terang-terangan untuk menggugat keputusan yang telah diperkenankan oleh Sultan Pahang, khususnya dalam mempertahankan hak milik tanah kerajaan negeri yang diceroboh sejak empat dekad lalu.
“Kami menuntut agar RCI ditubuhkan segera untuk menyiasat bagaimana kegiatan ini boleh berterusan begitu lama, termasuk mengenal pasti mana-mana pegawai kerajaan yang berkompromi atau gagal mengambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rosli turut mendakwa aktiviti penerokaan tanah secara haram itu melibatkan kawasan beribu-ribu ekar dan tidak sepatutnya digambarkan sebagai usaha ‘petani kecil’ semata-mata.
Beliau menegaskan bahawa undang-undang seperti Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984 jelas mengklasifikasikan pencerobohan tanah kerajaan dan hutan simpan sebagai satu kesalahan jenayah berat, dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM500,000.
“Pihak yang menandatangani petisyen tersebut bukan sahaja menyokong tindakan salah, malah seolah-olah cuba melindungi penjenayah tanah. Ini boleh disiasat di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat,” katanya.
Tegas beliau, hanya melalui penubuhan RCI yang bebas dan menyeluruh, isu ini dapat disiasat hingga ke akar umbi termasuk mengenal pasti pihak-pihak berkepentingan, pelindung dalaman serta kelemahan penguatkuasaan yang telah berlarutan selama ini.
“Kedaulatan undang-undang dan titah Sultan perlu ditegakkan. Mana-mana individu yang didapati bersalah – sama ada peneroka haram, pelindung atau pegawai kerajaan – mesti dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi,” tambahnya.
Sebelum ini, isu penerokaan tanah di Raub menjadi perhatian selepas beberapa kumpulan mendakwa berlaku tindakan tidak adil ke atas peneroka yang telah bertapak di kawasan itu sejak sekian lama, termasuk menerima notis pengosongan serta penguatkuasaan dari pihak berkuasa.-airtimes.my
#Pahang #tanah #ceroboh #Raub #durian #airtimes #semasa