KUALA LUMPUR, 15 Apr – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, malam tadi.
Baginda menzahirkan ucapan berkenaan ketika titah ucapan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Persidangan DUN Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
“Beta bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Dewan hari ini dan seluruh rakyat di Perak menzahirkan rasa dukacita atas kembalinya ke Rahmatullah Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah dan keluarga Allahyarham,
“Semoga roh Allahyarham Tun Abdullah dilimpahi rahmat dan ihsan Ilahi serta ditempatkan dalam kalangan roh para solihin,” titah baginda.
Sebagai tanda berkabung, baginda menitahkan supaya bendera negeri Perak dikibarkan separa tiang pada hari ini sebagai lambang kesedihan dan penghormatan seluruh rakyat negeri ini atas pemergian seorang negarawan ulung.
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia dari tahun 2003 hingga 2009, telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada usia 85 tahun.-airtimes.my
#semasa #PakLah #TunAbdullah #Malaysia #airtimes