KUALA LUMPUR, 20 Mac – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sumbangan Aidilfitri berjumlah hampir RM2 juta sebagai tanda penghargaan kepada anggota yang bertugas menjaga keselamatan negara ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 74 sumbangan telah diterima dalam bentuk kewangan dan barangan dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.96 juta.
“Daripada jumlah ini, sebanyak RM1,777,500 diterima dalam bentuk kewangan, manakala sumbangan barangan bernilai RM178,920,
“Sumbangan ini adalah hasil keprihatinan pelbagai pihak terhadap pengorbanan anggota ATM yang tidak dapat beraya bersama keluarga,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya ATM 2025 di Wisma Pertahanan, hari ini.

Mohamed Khaled menyerahkan ‘Beg Raya’ kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar pada Majlis Pelancaran Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Para Penyumbang kepada Angkatan Tentera Malaysia 2025, di Wisma Pertahanan, hari ini. Foto: AirTimes/N.Huda
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, berdasarkan sumbangan itu, ATM turut menyediakan 15,000 beg hari raya yang akan diagihkan kepada anggota bertugas di hari lebaran, sama ada di dalam serta luar negara.
“Sangat penting untuk kita semua menzahirkan ingatan, sokongan serta penghargaan kepada semua anggota yang bertugas pada hari lebaran nanti,
“Kita percaya sumbangan tulus ikhlas ini memberi erti yang besar dan turut membawa makna bahawa segala pengorbanan warga ATM kepada negara tidak pernah dilupakan apatah lagi dinafikan,” ujarnya lagi.
Menurutnya, sokongan sektor korporat dan rakyat kepada ATM bukan sekadar bantuan material, tetapi juga satu bentuk solidariti nasional yang memperkuatkan daya ketahanan negara dalam menghadapi segala bentuk ancaman.
Tambah Mohamed Khaled, MINDEF dan ATM akan memastikan sumbangan-sumbangan ini disampaikan kepada anggota tentera sebelum sambutan Aidilfitri.
Beliau juga berharap agar sumbangan ini menjadi contoh dan dorongan kepada pihak lain yang masih belum berpeluang serta berkesempatan menyumbang untuk sama-sama tampil ke hadapan di masa depan.
“Saya harap sumbangan ini dapat meningkatkan moral anggota yang bertugas serta menjadi dorongan kepada lebih ramai pihak untuk turut menyumbang pada masa hadapan,” kata beliau. -airtimes.my
#ATM #sumbangan #HariRaya #pertahanan #airtimes