Home Semasa Kenaikan tarif hanya untuk industri dan maha kaya, tidak libatkan rakyat – Anwar

Kenaikan tarif hanya untuk industri dan maha kaya, tidak libatkan rakyat – Anwar

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 4 FEB – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kenaikan tarif elektrik yang diumumkan hanya melibatkan sektor industri dan tidak akan membebankan rakyat atau negara secara keseluruhan.  

Menurut beliau, semakan tarif ini bukanlah sebanyak 14 peratus seperti yang dilaporkan, sebaliknya hanya tertumpu kepada golongan industri dan perniagaan besar yang berkemampuan menanggung kenaikan tersebut.  

“Kenaikan tarif ini hanya dikenakan kepada industri, kepada golongan maha kaya. Kita nak pertahan buat apa? Kalau tidak cukai orang kaya, dari mana datangnya peruntukan untuk sekolah, untuk hospital?” katanya pada Selasa.  

Beliau berkata demikian, bagi menjawab celahan daripada Ahli parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN) sewaktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat berkenaan isu kenaikan tarif elektrik.

Dalam pada itu, Anwar turut memberi jaminan, lebih 85 peratus isi rumah di Malaysia akan terus menerima subsidi elektrik, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat.  

Tegasnya, tarif asas elektrik ditentukan oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun, sementara mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) pula ditentukan setiap enam bulan berdasarkan perubahan kos bahan api semasa.  

“Kita tidak mahu membebankan rakyat. Saya tegaskan semula kenaikan kadar tarif elektrik untuk industri akan berlaku mengikut kadar ICPT mulai Julai. Manakala, 85 peratus rakyat tidak akan terbeban,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan kerajaan telah meluluskan kenaikan tarif asas elektrik bagi tempoh 2025 hingga 2027, namun semakan kadar seterusnya hanya akan dilakukan pada Julai 2025. -airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #TarifElektrik #Cukai

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?