Home Pertahanan dan Keselamatan “DUTY-HONOUR-SACRIFICE: Kita semua pikul tanggungjawab bersama” – Panglima Angkatan Tentera

“DUTY-HONOUR-SACRIFICE: Kita semua pikul tanggungjawab bersama” – Panglima Angkatan Tentera

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 FEB – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar hari ini menegaskan semua lapisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memikul tanggungjawab bersama dalam memastikan organisasi itu kekal utuh dan digeruni.

Pada masa yang sama, beliau menyeru semua anggota, pegawai dan pemimpin ATM untuk merapatkan barisan dan mengelakkan perpecahan.

“Kita semua memikul tanggungjawab yang sama iaitu memartabatkan ketumbukan ini agar terus utuh, digeruni lawan, dan disegani kawan,

“Oleh itu, kita mesti terus merapatkan barisan dan memperkukuhkan kesatuan, memastikan tiada ruang untuk mana-mana pihak mencetuskan perpecahan, khususnya melalui tohmahan dan fitnah yang berniat jahat,” tegas Panglima Angkatan Tentera semasa menyampaikan ucaptama di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, hari ini.

Menurut beliau, tanggungjawab ATM sebagai benteng pertahanan negara diterjemahkan melalui Kertas Putih Pertahanan.

“Angkatan keramat ini mendukung dasar keselamatan negara yang telah diterjemahkan melalui Kertas Putih Pertahanan,

“Tonggak pertama dasar ini, iaitu kedaulatan dan keutuhan wilayah, mencerminkan betapa pentingnya kita untuk terus unggul dan sentiasa bersiap siaga bagi membolehkan ATM bersedia sebilang masa bagi memastikan tonggak utama ini terus terpelihara,” ujar beliau.

Panglima Angkatan Tentera turut menyatakan ATM perlu berubah dan melaksanakan transformasi yang diperlukan bagi memastikan angkatan itu sentiasa relevan dan kredibel sepanjang masa.

Selain itu, beliau turut menekankan ungkapan “DUTY-HONOUR-SACRIFICE” bukan sekadar slogan semata-mata tetapi ia perlu menjadi prinsip asas yang menjadi dasar setiap tindakan dan keputusan.

“Dengan berpegang kepada semangat ini, saya yakin kita mampu mengharungi apa jua cabaran yang mendatang dan terus memartabatkan ATM sebagai sebuah organisasi yang terbilang, dihormati dan disegani pada peringkat nasional mahupun antarabangsa,” tegasnya.

Nizam telah dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-23 pada Jumaat lalu bagi menggantikan Panglima Angkatan Tentera ke-22 Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?