KUALA LUMPUR, 4 FEB – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), hari ini mengumumkan pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi selaku Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ke-8, berkuat kuasa mula 30 Januari lalu.
Penyerahan watikah pelantikan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Mendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
“Berdasarkan pengalaman dan reputasi kepimpinan yang dimiliki oleh Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi, kementerian yakin beliau berupaya meneraju dan memperkasa tadbir urus UPNM,” jelas KPT.
Menurut kenyataan KPT lagi, pelantikan itu utamanya bagi mengukuhkan pentadbiran organisasi, pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan sains dan teknologi pertahanan dalam melahirkan bakat terbaik negara, khususnya sektor pertahanan dan keselamatan negara.
Justeru, pelantikan tersebut bagi menggantikan bekas Naib Canselor Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad, yang sebelum ini menerajui UPNM.
Sebelum pelantikan ini, Arman Rumaizi memegang jawatan sebagai Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 2022 dan pernah menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota serta Panglima Markas 2 Divisyen Pulau Pinang.
Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai penasihat ketenteraan kepada bekas Menteri Pertahanan dari 2014 hingga 2018.
Arman memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam bidang Pengajian Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2012
Sementara itu, KPT turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan Naib Canselor, Leftenan Jeneral Mardzuki atas jasa dan sumbangan beliau menerajui UPNM sebelum ini. -airtimes.my
#AirTimes #NaibCanselor #UPNM #Pertahanan #Malaysia