Home Semasa Malaysia sertai fasa ke-2 jambatan udara kemanusiaan ke Gaza

Malaysia sertai fasa ke-2 jambatan udara kemanusiaan ke Gaza

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam usaha kemanusiaan dengan menyertai fasa kedua Jambatan Udara Kemanusiaan ke Gaza yang diterajui Jordan, bagi menyalurkan bantuan segera kepada rakyat Palestin yang terjejas.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penyertaan Malaysia dalam inisiatif ini dipermudahkan menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Amman, selari dengan komitmen negara dalam membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Delegasi Malaysia turut disambut oleh Komander Pangkalan Udara Raja Abdullah II, Kolonel Plt. Osama Al Khatib, serta anggota Tentera Udara Diraja Jordan (RJAF), sekali gus memperkukuh hubungan dua hala dalam misi kemanusiaan antarabangsa.

“Penyertaan ini adalah susulan sumbangan Malaysia sebanyak AS$5 juta daripada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kepada Kerajaan Jordan pada 18 Disember 2024. Dana tersebut digunakan bagi menyokong operasi jambatan udara ini,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Malaysia turut terlibat dalam fasa pertama operasi pada 28 Januari 2025, yang menyaksikan penghantaran bantuan kritikal ke Gaza.

Misi jambatan udara ini, yang dimulakan atas arahan Raja Abdullah II, telah beroperasi sejak 28 Januari dan dijadualkan berlangsung sehingga hari ini.

“Sebanyak 16 helikopter RJAF digunakan dalam operasi ini, dengan 16 penerbangan harian dihantar ke kawasan yang memerlukan bantuan mendesak,

“Antara barangan yang dihantar termasuk bekalan perubatan, makanan serta keperluan bayi,” tambah Wisma Putra lagi.

Malaysia bersama Greece dan Itali merupakan antara negara terawal yang menyokong inisiatif ini, dengan lebih banyak negara dijangka menyertainya dalam beberapa hari akan datang.

“Malaysia kekal teguh dalam menyokong usaha Jordan bagi menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, susulan konflik yang berlarutan sejak 7 Oktober 2023 dan terus berlanjutan walaupun gencatan senjata diumumkan pada 15 Januari 2025,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain bantuan kemanusiaan, Malaysia juga menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mencapai penentuan nasib sendiri dan kenegaraan berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka.

“Malaysia akan terus memperjuangkan kebebasan, maruah dan keadilan untuk Palestin di peringkat antarabangsa,” tambah kenyataan itu.-airtimes.my

#Malaysia #Jordan #Gaza #Palestin #bantuan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?