Home Pertahanan dan Keselamatan Selamat jalan Wira Angkasa: 6 pesawat F-5 akan dilupus secara jualan

Selamat jalan Wira Angkasa: 6 pesawat F-5 akan dilupus secara jualan

by M.Daim

KUALA LUMPUR. 14 DIS – Nasib pesawat tempur F-5 yang pernah menjadi kebanggaan negara kini hampir pasti apabila status pelupusan telah pun dijawab di Dewan Negara.

Pihak Menteri Pertahanan dalam satu penyataan jawapan lisan menyatakan 6 buah jet pejuang yang menjadi ikon filem Wira Angkasa itu akan dilupuskan dengan kaedah pertukaran barter (barter trade).

Menurutnya, kaedah pelupusan ini telah dicadangkan oleh pihak Kementerian Pertahanan dan mendapat kelulusan dari pihak Kementerian Kewangan baru-baru ini.

“Permohonan ini (pelupusan secara barter) telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan pada 8 Oktober 2024,

“Beberapa tawaran pembelian daripada pihak syarikat luar negara juga turut diterima bagi pesawat ini,

“Namun proses pelupusan atau penjualan harus dilakukan dengan teliti dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan kelulusan daripada Kerajaan Amerika Syarikat berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai semasa perolehan pesawat ini,” kata penyataan jawapan lisan itu.

Jelasnya, proses pelupusan pesawat ini melibatkan beberapa kaedah termasuk menjadikan pesawat sebagai monumen, alat bantuan mengajar dan dijadikan stok alat ganti tertentu bagi peralatan yang masih berfungsi.

“Pada masa ini, pesawat-pesawat tersebut berada di Pangkalan Udara Butterworth,

“Pesawat-pesawat F-5 tersebut sedang dalam proses pelupusan secara berperingkat berdasarkan keadaan aset dan penilaian semasa,” kata jawapan itu.

Berdasarkan penyataan jawapan itu, pelupusan merangkumi 6 buah yang akan dilupuskan secara jualan, 10 unit digunakan sebagai monumen, sebuah Alat Bantuan Mengajar manakala 2 buah telah dijual kepada Thailand pada tahun 1982.

RF-5E merupakan antara varian yang dioperasikan oleh TUDM pada satu ketika dahulu.

Menurutnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini telah menerima 24 buah jet pejuang F-5 dan 5 daripadanya telah terlibat dalam nahas udara.

Jawapan itu turut memperincikan pecahan pelupusan pesawat supersonik pertama yang dioperasikan oleh Malaysia.

Selain 6 buah yang dilupuskan secara jualan, 10 unit digunakan sebagai monumen, sebuah unit Alat Bantuan Mengajar manakala 2 buah telah dijual kepada Thailand pada tahun 1982.

TUDM mengoperasikan pelbagai varian F-5 termasuk F-5B, F-5E/F dan RF-5E yang diterima secara berperingkat sekitar 1970-an hingga 1980-an.

Pesawat yang dijual kepada Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) sebelum ini merupakan varian F-5B.

Perolehan jet-jet pejuang F-5 merupakan satu detik bersejarah buat TUDM di mana pembelian pesawat ini menandakan permulaan era supersonik buat angkatan udara negara. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!