Dalam lipatan sejarah, perang nuklear pernah mencatatkan tragedi yang menggemparkan dunia.
Peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1945 bukan sahaja mengakhiri Perang Dunia Kedua namun turut menjadi peringatan kepada kemusnahan dahsyat yang boleh dicetuskan oleh senjata pemusnah seperti bom atom.
Ketika itu, ribuan nyawa melayang dalam sekelip mata, dan generasi seterusnya dibayangi oleh trauma radiasi jangka masa panjang seperti kecacatan kekal kepada janin dan penyakit kanser.
Kini, selepas hampir 80 tahun, ancaman yang sama kembali menghantui dunia, dan sejarah berkemungkinan besar berulang dalam skala yang lebih besar, terutamanya di Eropah Timur.
Baru-baru ini, Rusia mendedahkan bahawa pembinaan dan pengeluaran tempat perlindungan serangan bom mudah alih yang dikenali sebagai “KUB-M” sedang dilancarkan secara besar-besaran.
Nama KUB-M dipercayai berasal daripada singkatan bahasa Rusia “Kubicheskiy Modul” atau “Modul Kubik”.
Reka bentuknya sederhana tetapi efektif, menyerupai kontena perkapalan. Namun, struktur ini dioptimumkan untuk menghadapi ancaman radiasi dari letupan nuklear, gelombang letupan, bahan kimia toksik, kebakaran serta serpihan letupan.
Dalam unit asasnya, ia boleh menempatkan 10 hingga 54 individu dan kapasiti ini boleh meningkat sehingga 150 orang dengan gabungan beberapa modul.
Diperbuat daripada bahan komposit tahan radiasi dan logam yang kukuh, KUB-M juga dilengkapi dengan sistem sokongan hayat seperti penapisan udara, bekalan oksigen dan makanan serta kemudahan asas.
Difahamkan, penghuninya mampu bertahan sehingga 48 jam dalam keadaan kecemasan.
Antara lain yang menarik, KUB-M ini berupaya untuk diangkut dengan mudah melalui jalan raya atau kereta api, disambungkan dengan bekalan air serta diserahkan kepada kepada penduduk di kawasan berisiko tinggi.
Terdahulu, institut penyelidikan kementerian kecemasan Rusia memaklumkan, pembinaan tempat perlindungan mudah alih berkenaan sebagai langkah penting ke arah meningkatkan keselamatan rakyat.
Umum mengetahui, Rusia kini berperang dengan Ukraine dan menghampiri tahun ke-3 sejak 24 Februari 2022.
Pemerhati ketenteraan melihat pengumuman pengeluaran KUB-M semasa konflik masih berlangsung ini sebagai langkah defensif yang munasabah memandangkan keadaan keselamatan global yang semakin tidak stabil.
Manakala dari sudut lain, segelintir berpendapat, pengeluaran KUB-M bukan sekadar perlindungan untuk penduduk Rusia namun mesej geopolitik yang cukup jelas.
Dalam konteks perang di Ukraine, di mana Rusia menghadapi tekanan daripada bantuan ketenteraan NATO kepada Kyiv, pengeluaran tempat perlindungan KUB-M bukan hanya langkah perlindungan domestik tetapi juga mesej kepada dunia tentang persediaan Rusia untuk menghadapi senario terburuk.
Tindakan ini tidak boleh dilihat secara terasing. Ia adalah tindak balas kepada perubahan dalam doktrin nuklear Rusia yang diumumkan pada September lalu.
Doktrin ini memperluaskan kriteria penggunaan senjata nuklear, termasuk sebagai tindak balas terhadap serangan konvensional yang mengancam kedaulatan Rusia atau sekutunya, Belarus.
Dengan kata lain, jika ancaman yang dirasakan terhadap wilayah Rusia memuncak, penggunaan senjata nuklear adalah pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh Kremlin untuk membedil negara musuhnya.
Pengeluaran KUB-M juga dilihat sebagai mesej tegas kepada Ukraine dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara NATO agar tidak melanggar ‘garis merah’ yang telah ditetapkan oleh Rusia.
Kremlin sering menggunakan istilah ini untuk menandakan batas-batas tindakan yang dianggap tidak boleh diterima, seperti penggunaan senjata nuklear yang mengancam keselamatan wilayahnya atau sokongan bersenjata yang berlebihan kepada Kyiv.
Rusia telah menetapkan penggunaan senjata nuklear taktikal sebagai respons balas negaranya, sekiranya pihak lawan (Ukraine atau sekutunya) melancarkan serangan nuklear terlebih dahulu terhadap Rusia.
Oleh yang demikian, pengeluaran kubu tahan radiasi letupan nuklear, KUB-M oleh Rusia ini adalah isyarat jelas bahawa Kremlin yang tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah ekstrem demi mempertahankan kedaulatan dan kepentingan strategiknya. -airtimes.my
#TeknologiPertahanan #KeselamatanDanPertahanan #KonflikRusiaUkraine #Nuklear