KUALA LUMPUR, 6 Dis – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentang di sidang Dewan Rakyat minggu depan.
Beliau berkata, laporan itu telah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen dengan beberapa perkara telah deklasifikasikan dan dijangka dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
“Harap ia akan dibahaskan supaya rakyat tahu apa yang berlaku,” katanya seperti dilapor Bernama.
Johari berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Seminar Potensi Industri Lembu Hibrid Pedaging Malaysia 2024, di Bangunan Parlimen, hari ini.
Semalam Air Times melaporkan, menerusi laporan setebal 238 muka surat itu, RCI mengemukakan syor untuk tindakan laporan polis dibuat terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ini bagi membolehkan siasatan jenayah dilakukan terhadap beliau berikutan keputusan kerajaan untuk menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2018 lalu.
“Suruhanjaya mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan satu siasatan jenayah dimulakan terhadap Tun Dr. Mahathir atas kesalahan-kesalahan di bawah seksyen 415(b) dan seksyen 418 Kanun Keseksaan,” kata laporan itu.
Sebelum ini Azalina dalam kenyataan berkata laporan RCI terbabit sudah diedarkan kepada Ahli Parlimen dan ia akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada Khamis minggu depan.-airtimes.my
#semasa #Malaysia #BatuPuteh #RCI #Parlimen #laporan #airtimes