Home Diskusi Pengaruh ajaran sesat: Pentingnya keteguhan akidah di era moden

Pengaruh ajaran sesat: Pentingnya keteguhan akidah di era moden

by Aqilah Azman

Iman dan Akidah merupakan tunjang utama dalam kehidupan umat Islam, di samping memiliki rasa ketaqwaan sebagai pendorong buat seseorang ke jalan yang benar agar tidak tersasar dari landasan syariat Islam.

Meskipun, seiring peralihan zaman yang kian membangun dan ‘moden’, usaha dalam pemantapan dan keteguhan akidah menjadi lebih mencabar bilamana munculnya anasir-anasir luar yang mula menguasai dan mampu menggugat keimanan seseorang.

Jika dilihat pada hari ini, ramai yang mudah terpedaya dan goyah dek kerana keindahan dan kenikmatan duniawi yang mengaburi mata, malah sehinggakan ada yang sanggup menggunakan cara bertentangan ajaran agama Islam.

Ajaran sesat bukanlah suatu pegangan yang baru bahkan sejak zaman sebelum kegemilangan Islam sudah terwujud. Ini kerana mereka beranggapan ia sebagai pemudah cara dalam memenuhi keinginan nafsu diri tanpa menilai mana kebenaran dan kebatilan.

Bagaimanapun, sehingga kini masih menjadi persoalan mengapa ajaran menyeleweng ini masih berleluasa dalam sebilangan masyarakat, walaupun sudah dipantau dengan pelbagai kaedah dari semasa ke semasa.

Demikian, baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan pembongkaran kegiatan kumpulan Global Ikhwan Holdings Sdn. Bhd (GISBH) yang mempunyai fahaman bercanggah serta aktiviti jenayah pengeksploitasian ke atas kanak-kanak, wanita termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) serta autism.

Pergerakan licik kumpulan ini dikatakan, dari saki baki Al-Arqam yang telah pun diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 ini mempunyai pengaruh yang agak besar sejak dahulu dan pegangan yang berselindung di sebalik agama.

Walaupun menyedari ianya satu perbuatan yang berdosa besar dan membawa kepada murtad serta mengundang kemudaratan, sedikit sebanyak memberi impak buruk kepada diri dan seterusnya mencemarkan kesucian agama dan mengancam kesejahteraan negara.  Dengan itu, tidak semena boleh merosakkan akidah seseorang dan melunturkan keimanan yang kehidupannya berpaksikan ajaran yang belum menjaminkan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Akan tetapi, berkemungkinan ada segelintir pada awalnya tidak mengetahui wujudnya kegiatan kumpulan tersebut di sebalik keislaman yang dipamerkan. Ini menyebabkan mereka serta-merta menyertai dan menjadi ahli untuk mendalami agama tanpa membuat sebarang usul periksa.

Ditambah pula, dengan pelbagai tawaran kemudahan dan ganjaran dari segi harta dan lain-lain. Jelaslah, itu antara faktor utama bagi sebahagian pengikut selain jahil terhadap asas-asas ilmu agama Islam yang sebenar.

Lantaran itu, pihak berkuasa dan berkenaan seperti Jabatan Agama Islam, Polis Diraja Malaysia serta agensi-agensi lain perlu bertanggungjawab serta memainkan peranan penting, untuk menyelamatkan umat Islam agar akidahnya tidak terpesong dan mudah diperdaya dengan tipu helah pengasas kumpulan tersebut.

Tambahan pula dengan kemudahan teknologi dan media sosial yang meluas, jika dimafaatkan dengan cara yang betul dan sebijaknya, ajaran Islam dapat diperluaskan ke setiap pelusuk dunia. Dalam masa sama, bukan sahaja sebagai medium yang dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT  bahkan dapat mengawasi kegiatan kumpulan yang menyekutukan Allah SWT ini. Secara tidak langsung, dapat membuka mata hati individu bukan Islam untuk mendalami dan memahami Islam yang sebenar-benarnya.

Sewajarnya, dalam diri setiap muslim wajib untuk meyakini dan tidak mempercayai ajaran lain selain agama Islam. Maka, peran ibu bapa juga antara yang penting malah perlu rasa tanggungjawab untuk menanamkan kepercayaan kepada agama Islam dalam diri anak-anak sejak awal usia lagi.

Walau bagaimanapun, biarpun berbagai langkah telah diketengahkan dan dilaksanakan, hakikatnya berbalik kepada pendirian individu itu sendiri untuk terus mempersiapkan diri dengan ilmu Islam yang mantap agar terus berpegang teguh dengan iman juga akidah dalam diri. -airtimes.my

#AirTimes #Islam #ajaransesat #GISBH #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!