Home Pertahanan dan Keselamatan TUDM akan terima 18 Pesawat FLIT-LCA baharu menjelang 2026

TUDM akan terima 18 Pesawat FLIT-LCA baharu menjelang 2026

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima 18 unit pesawat Fighter Lead-In Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) baharu pada penghujung tahun 2026.  

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu penyataan jawapan lisan di Parlimen menegaskan, pesawat baharu ini akan menggantikan beberapa aset lama yang semakin usang sebagai sebahagian daripada pelan penggantian jangka panjang.  

Menurut beliau, perolehan ini bertujuan menggantikan pesawat keluaran BAE Systems, iaitu varian dua tempat duduk Hawk Mk 108 dan varian satu tempat duduk Hawk Mk 208, yang telah digunakan lebih daripada 30 tahun. 

Selain itu, ia juga bakal menggantikan pesawat keluaran Leonardo, MB-339CM buatan Itali dan pesawat tempur MiG-29N buatan Rusia.  

Pesawat MK Hawk 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). (Foto: FB TUDM)

Pesawat-pesawat sedia ada ini, walaupun berfungsi dengan baik dalam era penggunaannya, kini menghadapi cabaran ketara dari segi penyelenggaraan dan kekangan teknologi untuk menangani ancaman moden.  

Pesawat FLIT-LCA baharu bukan sahaja direka untuk melatih juruterbang tempur, malah mampu menjalankan pelbagai misi operasi termasuk serangan udara ringan dan perlindungan ruang udara. 

Malaysia sebelum ini memilih KAI FA-50 Block 20 sebagai pesawat bagi memenuhi keperluan FLIT-LCA TUDM.

Dilengkapi dengan sistem avionik terkini, radar canggih, dan persenjataan pintar, pesawat ini menawarkan kelebihan signifikan dari segi kemampuan operasi TUDM secara keseluruhan.  

Pesawat pejuang F/A-18C Hornet milik Tentera Udara Kuwait (Foto: Flickr)

Sebagai tambahan, TUDM kini juga dalam proses mendapatkan perolehan pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Kuwait Air Force (KAF). 

Sebelum ini, Malaysia melalui Kementerian Pertahanan telah menyatakan minat untuk memperoleh jet pejuang berkenaan namun keputusan tersebut bergantung kepada kelulusan dari Amerika Syarikat sebagai negara pengeluar.

Jika perolehan ini berjaya, ia bakal memperkukuh kekuatan tempur udara negara dan menjadi penyelesaian segera bagi memenuhi keperluan pertahanan kritikal.

Pesawat FLIT-LCA dan F/A-18 Legacy Hornet akan memberikan nilai tambah kepada Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), yang memfokuskan transformasi menyeluruh ke atas aset dan strategi pertahanan udara bagi memastikan kesiapsiagaan TUDM menghadapi cabaran masa depan. -airtimes.my

#PertahananDanKeselamatan #FLIT/LCA #F/A-18Hornet #TUDM #MINDEF 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!