KUALA LUMPUR, 26 FEB – Kerajaan secara rasmi membatalkan perancangan untuk memperoleh armada pesawat tempur terpakai jenis F/A-18 Hornet dari Kuwait bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Keputusan ini sekaligus menamatkan segala spekulasi mengenai masa depan perolehan aset berkenaan, yang sebelum ini dilihat sebagai langkah interim untuk menampung kelompangan keupayaan pertahanan ruang udara negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari mengesahkan perkara tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, ketetapan tersebut telah dicapai secara rasmi dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 6 Februari 2026. Adly menambah, pembatalan ini dibuat bersandarkan hasil laporan teknikal yang komprehensif oleh pasukan penilai TUDM yang telah dihantar ke negara Teluk berkenaan pada hujung tahun lalu.
“Mesyuarat telah memutuskan bahawa perancangan ini tidak akan diteruskan. Ini setelah mengambil kira hasil penilaian teknikal ke atas pesawat F/A-18 Hornet oleh tim penilaian TUDM yang telah melaksanakan penilaian dari 11 hingga 27 November 2025,” kata beliau ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Pelan perolehan F/A-18 Hornet dari Kuwait sebahagian daripada pelan opsyenal dalam Fasa I Pelan CAP55 TUDM./Gambar: TASK FORCE SPARTAN
Penilaian teknikal tersebut mendapati perolehan armada Hornet dari Kuwait akan mendatangkan risiko dan cabaran logistik jangka panjang kepada TUDM. Antara faktor kritikal yang menyumbang kepada pembatalan ini termasuklah unjuran tempoh penerimaan pesawat yang memakan masa, kelewatan tarikh mula beroperasi, serta ketiadaan jaminan kesinambungan sokongan penyelenggaraan yang berada di luar kawalan kerajaan Malaysia.
Susulan penamatan rancangan perolehan aset dari Kuwait itu, ruang udara negara kini berdepan dengan tekanan kesiapsiagaan memandangkan aset sedia ada semakin berusia. Bagi mendepani defisit keupayaan ini, Kementerian Pertahanan merangka pelan mitigasi dengan menilai semula jadual perolehan Pesawat Tempur Pelbagai Peranan (MRCA) yang baharu.
“Kita tahu bahawa MRCA kita termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14). Walau bagaimanapun, setelah keputusan Jemaah Menteri berkaitan Hornet ini, TUDM akan membuat kajian sama ada perolehan MRCA ini perlu diawalkan ke Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, sekiranya dapatan kajian tersebut membuktikan wujud keperluan operasi yang amat mendesak, proses perolehan aset tempur generasi baharu itu akan didaftarkan segera mengikut tatacara permohonan dalam pelan pusingan (rolling plan) belanjawan negara yang akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat sendiri F/A-18 Hornet Kuwait semasa lawatan rasmi beliau ke negara Teluk itu pada Oktober 2024. /Gambar: FB Khaled Nordin
Petanda Awal Ketidaktentuan dan Pelan Alternatif TUDM
Pembatalan pemerolehan ini sebenarnya sudah dijangka berikutan pelbagai halangan birokrasi dan teknikal yang timbul sejak akhir tahun lalu. Air Times sebelum ini melaporkan masa hadapan pelan perolehan jet pejuang dari Timur Tengah berhadapan dengan ketidaktentuan atas beberapa faktor.
Pada 18 Disember 2025, Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris telah mendedahkan bahawa hasrat Malaysia yang disuarakan sejak 2017 itu berdepan dengan jalan buntu yang kritikal.
Pelaksanaan penyerahan pesawat terpakai itu didapati bergantung sepenuhnya kepada garis masa penerimaan pesawat F/A-18 Super Hornet baharu oleh kerajaan Kuwait.
Negara Teluk itu meletakkan syarat ketat bahawa pesawat Hornet sedia ada hanya boleh diserahkan kepada Malaysia sekitar 12 hingga 18 bulan selepas mereka menerima pesawat pengganti baharu sepenuhnya.
Bukan itu sahaja, syarat ketat pemerolehan dari Amerika Syarikat turut merumitkan lagi integrasi pesawat tersebut ke dalam armada tempur negara.
“Ini bermakna walaupun pesawat diterima, kita masih belum boleh mengoperasikannya serta merta. Faktor masa, kos dan kebolehsokongan jangka panjang perlu dinilai secara sangat teliti,” kata Muhamad Norazlan pada waktu itu.
Beliau menjelaskan bahawa pesawat F-18 dari Kuwait itu tidak boleh diterbangkan terus oleh juruterbang negara kerana ia diwajibkan menjalani pengubahsuaian perisian khusus. Proses modifikasi mandatori ini dijangka memakan masa sekurang-kurangnya 15 bulan dari tarikh penerimaan fizikal, sekaligus melambatkan tarikh operasi rasmi.
TUDM sebelum ini berpendirian tegas untuk tidak membuat sebarang keputusan tergesa-gesa yang akhirnya boleh menghantui Angkatan Tentera Malaysia dari sudut bebanan kewangan dan kelompangan operasi.
Bagi menampung keperluan mendesak ini, ruang udara negara kini akan disandarkan kepada pelan alternatif sedia ada. Pemerkasaan keupayaan udara jangka masa terdekat akan dipacu oleh perolehan 18 buah pesawat tempur ringan FA-50 buatan Korea Aerospace Industries (KAI). Enam buah pesawat pertama dijangka siap dibina menjelang hujung tahun ini, manakala proses penyerahan ke pangkalan udara tempatan dijadualkan bermula secara berperingkat pada tahun 2027.
Gabungan kemasukan pesawat FA-50 dan perancangan untuk mempercepatkan program MRCA dijangka menjadi tunjang utama doktrin pertahanan TUDM dalam memastikan kedaulatan ruang udara negara terus dipertahankan tanpa kompromi. – airtimes.my













