KUALA LUMPUR, 24 Feb – Rancangan CAP55 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mula melangkah ke hadapan selepas syarikat aeroangkasa Korea, Korea Aerospace Industries (KAI) telah dipilih untuk peroleh FLIT/LCA.
KAI menyatakan pihaknya telah dianugerahkan kontrak perolehan 18 buah FA-50 bernilai RM 4 bilion dengan Kementerian Pertahanan Malaysia.
Perolehan tersebut merupakan Fasa 1 kepada program FLIT/LCA yang digariskan di bawah pelan strategik Capability 2055 (CAP 55) TUDM. Di bawah pelan tersebut, TUDM menggariskan 36 buah perolehan FLIT/LCA yang dilakukan secara berfasa.
“Eksport ini merupakan hasil kerjasama yang kukuh antara kedua-dua negara,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif KAI, Kang Koo-young yang dipetik oleh agensi Yeonhap.
Menurut beliau, pihaknya komited untuk memastikan perolehan ini berjaya.
“Kami juga komited dalam memberikan sokongan operasi FA-50 dan juga memainkan peranan dalam kerjasama pertahanan,” katanya.
Menurut laporan itu, majlis menandatangani kontrak telah dihadiri oleh Koo-young; Panglima Tentera Udara Korea Selatan, Jung Sang-hwa, dan Ketua Setiausaha Pertahanan Datuk Muez Abd Aziz.
Difahamkan, KAI menawarkan FA-50 yang mempunyai keupayaan untuk melakukan pengisian minyak di udara dan keupayaan persenjataan yang lebih baik berbanding varian sebelumnya.
Di bawah CAP 55, FLIT/LCA dirancang untuk menggantikan peranan beberapa buah pesawat TUDM termasuk MiG-29N dan Hawk 108/208.
Perolehan 18 buah pesawat ini dijangka akan bermula pada tahun 2026. – airtimes.my