Home SemasaGlobal Kanada pilih F-35A ganti jet pejuang CF-18 yang berusia 41 tahun

Kanada pilih F-35A ganti jet pejuang CF-18 yang berusia 41 tahun

by M.Daim

OTTAWA, 10 Jan – Kanada telah bersetuju untuk membelanjakan sebanyak US$14.2 bilion untuk membeli 88 buah jet pejuang F-35 dari Amerika Syarikat.

Jet pejuang generasi ke-5 keluaran Lockheed Martin itu telah dipilih oleh Ottawa bagi menggantikan varian F/A-18 Hornet yang dioperasikan oleh negara utara Amerika itu, CF-18 semenjak 1982.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Kanada, pembelian F-35 baru-baru ini merupakan satu pelaburan dan perolehan yang terbesar dijalankan oleh Tentera Udara Diraja Kanada (RCAF) dalam tempoh 30 tahun.

“Dengan perolehan ini, Kanada akan berupaya untuk mempertahankan ruang udaranya dan mengukuhkan lagi kerjasama serta koordinasi dengan negara sekutu,

“Jet pejuang baharu yang diperolehi ini akan membolehkan Kanada untuk memenuhi tanggungjawab ketenteraan di tanah air serta inisiatif NORAD dan NATO,” kata kenyataan itu.

CF-18 Hornet yang dioperasikan oleh Kanada capai usia 41 tahun perkhidmatan pada 2023.

Melalui perolehan ini, Kanada akan menerima F-35A secara berperingkat mulai 2026. Perkhidmatan 138 buah CF-18 oleh RCAF disasarkan untuk tamat mulai 2032.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Kanada telah melaksanakan 2 inisiatif utama bagi memanjangkan hayat CF-18.

Antaranya membeli 25 buah F/A-18 A/B dari Australia bagi tujuan alat ganti. Perolehan ini telah dilancarkan semenjak 2017. Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) kemudiannya menghantar kesemua pesawat tersebut mulai 2019 dan terakhir pada 2021.

F/A-18 A/B RAAF dipilih memandangkan CF-18 A/B dibangunkan dari platform yang sama.

Pada masa yang sama, Kanada sedang melaksanakan inisiatif untuk memanjangkan jangka hayat CF-18 melalui Hornet Extension Project (HEP) yang diluluskan pada tahun 2020. Projek ini dijangka akan menampakkan hasil pada akhir tahun 2023 sebelum ia ditamatkan pada tahun 2026.

Selain membeli 88 buah F-35A, Kanada turut menyatakan 2 fasiliti baharu bagi pesawat tersebut akan dibina di Bagotville dan Cold Lake. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply