Mutakhir ini, kisah perolehan F/A-18 Kuwait sekali lagi mendapat perhatian. Namun, ia bukan satu perkhabaran yang positif memandangkan negara teluk itu dilihat berhasrat untuk meneruskan khidmat jet pejuang terbabit dalam inventori mereka.
Ini berdasarkan notis yang dikeluarkan oleh Defense Security Cooperation Agency (DSCA), Kuwait turut memohon untuk mendapatkan tingkat upaya perisian F/A-18, penambah baikan komponen enjin, peralatan sokongan serta alat ganti.
“Rancangan penjualan ini akan menyediakan khidmat sokongan kepada F/A-18C/D/E/F yang dioperasikan oleh Kuwait,” kata DSCA dalam notis yang dikeluarkan pada 13 Jun lalu.
Menurutnya, kontrak dagangan ini dijangka mencecah US$1.8bilion (RM8.3bilion).
Notis ini sekaligus memberikan petanda jelas bahawa F/A-18 Hornet masih lagi beroperasi dalam inventori Tentera Udara Kuwait.
Sumber memaklumkan kepada Air Times bahawa perolehan F/A-18 Hornet dari Kuwait merupakan antara opsyen atau pilihan dalam fasa pertama CAP55.
Menurut beliau, Fasa 1 CAP55 menggariskan perolehan sejumlah F/A-18 Hornet Kuwait bagi memenuhi keperluan pembentukan kekuatan TUDM untuk sementara waktu.
“F/A-18 Hornet Kuwait dilihat sebagai salah satu opsyen yang terbaik bagi membentuk satu lagi skuadron,” katanya.
Menurut beliau, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada ‘kelewatan’ perolehan pesawat tersebut dari Kuwait.
“Perlu diketahui bahawa Kuwait terjerumus dalam kancah politik. Pilihanraya yang diadakan pada minggu lalu merupakan kali ke-3 diadakan semenjak 2020,” katanya.
Untuk rekod, Kuwait telah mengumumkan pertukaran kerajaan sebanyak 7 kali semenjak tahun 2020 sehingga April 2023. Malah, Mahkamah Perlembagaan Kuwait telah membatalkan keputusan pilihanraya sebelum ini dan sekaligus membawa kepada pemilihan baharu.
“Perubahan ini sekaligus menyebabkan proses rundingan perolehan terganggu,” kata sumber.
Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia merupakan antara negara yang ingin mendapatkan sejumlah Hornet Legasi daripada negara Teluk itu. Begitu juga Amerika Syarikat dan juga beberapa buah negara lain.
Kuwait telah menerima 31 buah F/A-18C dan 8 F/A-18D pada sekitar tahun 1990 hingga 1993.
Dari segi operasi, Hornet yang dioperasikan oleh Kuwait telah melaksanakan beberapa misi termasuk kawalan udara di Iraq melalui Operation Southern Watch. Malah, F/A-18 C/D Hornet Kuwait telah digunakan dalam misi peperangan di Yaman.
Perkembangan F/A-18 Kuwait ini dilihat amat berbeza dengan kejayaan Indonesia untuk membeli 12 buah Mirage 2000-5 dari Qatar. Perolehan jet pejuang oleh Jakarta ini merupakan langkah ‘stop gap’ yang dilakukan oleh Indonesia sementara menanti ketibaan Dassault Rafale dan F-15EX.
Mengapa kita perlukan F/A-18 Hornet Kuwait?
Kisah perolehan F/A-18 Hornet dari Kuwait telah lama berlaku dan ia kembali panas mutakhir ini kerana jet-jet pejuang tersebut diperlukan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi tujuan ‘stop gap’ pada kekuatan udara.
Umum mengetahui, Malaysia mengoperasikan sebanyak 8 buah F/A-18D Hornet semenjak tahun 1997. Perolehan ini berlaku hampir serentak dengan penerimaan pesawat BAE Hawk 108/208 (1996) dan juga MiG-29N (1994-1995).
Kali terakhir Malaysia melakukan perolehan jet pejuang adalah pada tahun 2003 dengan pembelian 18 buah Sukhoi Su-30MKM. Negara mula menerima Su-30MKM pada 2007.
Selepas perolehan Su-30MKM, Malaysia tidak melakukan sebaran perolehan untuk lebih 10 tahun sehinggalah termeterainya pembelian FA-50 dari Korea Selatan.
Seperti yang kita sedia maklum, kekuatan taring udara negara perlu disusun semula memandangkan persekitaran geopolitik serantau yang tidak menentu. Perkara ini dirancang melalui pelan strategik Capability 2055 (CAP55).
Ketika pelan CAP55 sedang berjalan, realiti usia aset jet-jet pejuang TUDM tidak boleh diketepikan. Begitu juga tempo operasi yang kian meningkat dengan melihat ketiadaan pengganti kepada MiG-29N dan F-5E Tiger II.
Di bawah pelan CAP55, perolehan FA-50 adalah untuk mengisi peranan FLIT/LCA. Perolehan ini adalah untuk menggantikan peranan beberapa jenis pesawat iaitu Hawk 108/208, MiG-29N dan MB339CM.
Persoalannya, apakah pilihan lain untuk TUDM bagi mengisi kekurangan yang ditinggalkan oleh pelan F/A-18 Hornet Kuwait? – airtimes.my