Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan lulus pembinaan pangkalan laut baharu di Bintulu

Kerajaan lulus pembinaan pangkalan laut baharu di Bintulu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Kerajaan telah meluluskan pembangunan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu iaitu Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak bagi memperkukuhkan keselamatan dan pengoperasian di Malaysia Timur.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, cadangan untuk mewujudkan Pangkalan TLDM yang baharu di Sarawak itu adalah hasil penilaian strategik berpusat kepada 2 perkara utama.

Menurutnya, pembinaan tersebut adalah bagi melindungi kepentingan sumber negara serta mempertahankan kedaulatan negara daripada insiden pencerobohan asing.

Jelasnya, berdasarkan kajian semasa, Bintulu dinilai sebagai lokasi yang paling sesuai untuk membangunkan sebuah pangkalan Tentera Laut yang baharu.

“Secara tidak langsung, pembangunan bagi kedua-dua elemen ini adalah tanda keprihatinan Kerajaan sebagai langkah untuk mewujudkan keupayaan kritikal bagi aspek pertahanan maritim khususnya di perairan Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian secara bertulis bagi menjawab persoalan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor – PH) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan apakah Kementerian punya rancangan untuk membangunkan Stesen Luar Pantai di Beting Petinggi Ali di Dewan Rakyat.

Mohamad turut menjelaskan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak berhasrat untuk melaksanakan pembangunan di Beting Patinggi Ali.

Tegasnya, MINDEF telah menerima perolehan kapal baharu iaitu Littoral Mission Ship Batch 2 (LMBS2) melalui Rolling Plan Ketiga Tahun 2023 baru-baru ini bagi memperkukuhkan aset keselamatan terutamanya di Sarawak.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan, dari aspek operasi, TLDM sentiasa memastikan keselamatan perairan negara khasnya dan pertahanan negara umumnya berada di tahap tertinggi dengan pelaksanaan operasi-operasi di perairan negara termasuk di Laut China Selatan.

“Kerjasama TLDM dan APMM melalui Operasi NAGA bertujuan memastikan perairan Zon Maritim Malaysia terjamin dari sebarang pencerobohan oleh bot dan kapal asing,

“Pemantauan termasuk rondaan yang dilaksanakan adalah secara berterusan sepanjang masa dan aset TLDM APMM sentiasa memperagakan kehadiran bagi menjaga keselamatan nelayan tempatan dan komuniti maritim yang lain,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply