Home Semasa Pembinaan Kapal Misi Pesisir Batch 2 TLDM telah bermula secara rasmi

Pembinaan Kapal Misi Pesisir Batch 2 TLDM telah bermula secara rasmi

by Muhammad Izzat

ISTANBUL, 4 Dis – Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, menyempurnakan upacara Steel Cutting bagi projek Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Istanbul Shipyard, Turkiye, hari ini.

Menurut kenyataan di laman Facebook Tentera Laut Diraja Malaysia, pembinaan kapal ini dijangka selesai pada penghujung 2027 dan akan diserahkan kepada TLDM selepas siap.

Steel Cutting merupakan acara pemotongan plat besi kapal sebagai simbolik permulaan aktiviti pembinaan kapal,” jelas kenyataan itu.

Kapal LMSB2 dijangka memberikan keupayaan tempur pelbagai dimensi kepada TLDM, termasuk dalam peperangan anti permukaan, anti udara, dan peperangan elektronik. Kapal ini dilengkapi dengan sistem persenjataan dan penderia berteknologi tinggi yang mampu melaksanakan pelbagai misi dalam domain maritim negara.

Reka bentuk kapal LMSB2 adalah berasaskan korvet Kelas ADA yang dipilih melalui memorandum persefahaman Government-to-Government (G2G) antara Malaysia dan Turkiye.

Kapal ini telah terbukti keberkesanannya melalui operasi oleh Angkatan Laut Turkiye dan Tentera Laut Pakistan. Kapal dari kelas yang sama juga sedang dibina dan diuji untuk perolehan Tentera Laut Ukraine dan Tentera Laut Pakistan.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh delegasi Kementerian Pertahanan yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Dr. Mohd Bakhari Ismail, serta wakil TLDM dan Pasukan Projek LMSB2.

Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Türkiye, Tuan Yang Terutama Sazali Mustafa Kamal, dan Pengurus Besar Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM), Mr. Özgür Güleryüz.

Proses ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan keupayaan pertahanan maritim Malaysia dalam menghadapi cabaran keselamatan masa kini. – airtimes.my

#airtimes #TLDM #LMSBatch2 #MaritimMalaysia #TenteraLaut

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!