KOTA BHARU, 5 Dis – Lebih 400 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kelantan dan Terengganu dilaporkan terjejas akibat banjir yang melanda baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihak kementerian sedang giat memantau situasi serta menilai keperluan bantuan untuk golongan ini.
“Kami sedang mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan lebih 400 veteran yang terjejas akibat bencana ini,
“Fokus utama kami adalah pembaikan rumah-rumah yang mengalami kerosakan struktur, selain bantuan kebajikan lain seperti peralatan rumah yang rosak,” katanya semasa lawatan ke Kelantan malam tadi.
Hadir sama, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Kelantan, Mejar Wan Abdullah Wan Abdul Samad TUDM serta wakil persatuan-persatuan Veteran ATM sekitar Kelantan.
Menurut beliau, antara cabaran utama pasca banjir adalah kerosakan barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh yang sukar diuruskan.
Namun, perhatian lebih diberikan kepada membaiki kerosakan struktur rumah bagi memastikan keselamatan penghuni.
“Kami menggesa semua veteran ATM yang mengalami masalah berkaitan rumah agar segera menghubungi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) untuk mendapatkan bantuan,” tambahnya.
Selain itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) turut mengingatkan veteran dan penduduk setempat untuk bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir yang diramalkan berlaku sepanjang hujung tahun ini.
“Di Kelantan dan Terengganu, terdapat lebih 250 anggota ATM selain 400 veteran yang terkesan. Kami sentiasa berhubung dengan mereka untuk memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terjamin,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Adly diberikan taklimat oleh Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Muzamil Ali, selaku Appointed Military Commander (AMC) Op MURNI Kawasan Tanggungjawab 8 Briged yang bertanggungjawab memantau situasi banjir dan membantu pihak berkuasa awam semasa bencana banjir belaku di kawasan sekitar Kelantan serta Terengganu.
Kemudiannya, Adly turut melawat ahli veteran ATM yang terkesan dengan banjir di jajahan berkenaan.
Beliau kemudiannya turut singgah menyampaikan sumbangan kepada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sedang dalam penugasan Op MURNI di sekitar jajahan tersebut.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #veteranATM #banjir #Kelantan #Terengganu