Home SemasaIsu Laut China Selatan kompleks, sensitif – Tok Mat

Isu Laut China Selatan kompleks, sensitif – Tok Mat

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 16 OKT – Isu yang melibatkan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, isu ini perlu dikendalikan secara berhati-hati, teliti dan menyeluruh.

“Setiap tindakan yang diambil oleh Kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif tanpa mengenepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara.

“Pendirian Malaysia berhubung isu Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten” katanya ketika sesi sidang parlimen di Dewan Rakyat, di sini pada Isnin.

Mohamad berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda berhubung pendirian Kerajaan dalam konflik tuntutan di Laut China Selatan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, semua pertikaian dan penyelesaian isu-isu berhubung Laut China Selatan hendaklah berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuklah Konvensyen Undang–Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982).

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh tiga tahun, Malaysia komited untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif, dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.

“Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu Laut China Selatan di pelbagai platform bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara,” katanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply