PUTRAJAYA, 9 OKT – Program pertukaran kepakaran antara langkah yang akan diambil bagi mengukuhkan kerjasama strategi twin city (bandar kembar) Putrajaya-Shanghai.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa hari ini.
Menurut beliau, langkah ini akan membolehkan Malaysia mempelajari lebih lanjut tentang pengurusan bandar pintar dan penyelesaian teknologi berasaskan inovasi malah dapat membantu memastikan negara berada di barisan hadapan dalam mengadaptasi pendekatan moden.
“Langkah ini bukan sahaja akan membolehkan kita mempelajari lebih lanjut tentang pengurusan bandar pintar dan penyelesaian teknologi berasaskan inovasi, tetapi juga memastikan kita berada di barisan hadapan dalam mengadaptasi pendekatan moden ini demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan bandaraya kita,
“Saya yakin, kerjasama ini mampu membawa Wilayah Persekutuan ke tahap yang lebih tinggi dalam pengurusan bandar yang berdaya tahan dan berinovasi,” kata Dr Zaliha dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi beliau.
Dr Zaliha yang dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China bermula 7 Oktober lalu menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama ini mampu membawa Wilayah Persekutuan ke tahap yang lebih tinggi dalam pengurusan bandar yang berdaya tahan dan berinovasi.
Hasrat tersebut telah disuarakan oleh beliau semasa mengadakan mesyuarat mesyuarat bersama Kerajaan Perbandaran Shanghai yang diketuai oleh Zhang Yonggang, Timbalan Ketua Pengarah Shanghai Municipal Commission of Housing, Urban-Rural Development and Management (SHMCHURDM) yang juga merupakan Pengarah Biro Pengurusan dan Penguatkuasaan Undang-Undang Bandaraya Shanghai.
Menurut Dr Zaliha, perbincangan tertumpu kepada perkongsian kepakaran dalam strategi regenerasi bandar di Shanghai, di mana 10 daerah utama mereka akan menjalani proses regenerasi menjelang tahun 2025.
“Proses ini melibatkan pembangunan semula kawasan perumahan, komersial, dan perindustrian, yang dijangka membawa impak besar kepada pertumbuhan bandar secara menyeluruh,” ujar beliau.
Selain itu, konsep Sponge City dalam menangani bencana banjir telah menarik perhatian beliau.
“Konsep ini bukan sahaja memperkukuh ketahanan bandar terhadap perubahan cuaca yang ekstrem, malah ia juga berpotensi meminimumkan kesan bencana alam di kawasan berisiko banjir,
“Model inovatif ini boleh menjadi inspirasi Wilayah Persekutuan dalam mengintegrasikan teknologi hijau dalam perancangan bandar demi masa depan yang lebih lestari,” jelasnya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #Malaysia #China