Home SemasaKrisis kekurangan kaunselor: KPT perkasa inisiatif Rakan Siswa

Krisis kekurangan kaunselor: KPT perkasa inisiatif Rakan Siswa

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 9 OKT – Kekurangan pegawai psikologi dan kaunseling di Malaysia semakin membimbangkan apabila permintaan terhadap perkhidmatan sokongan mental menunjukkan peningkatan ketara bagi tempoh beberapa tahun.

Situasi ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada keberkesanan bantuan psikologi, khususnya dalam kalangan pelajar dan masyarakat kini.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Professor Dr Azlinda Azman berkata, jumlah pegawai psikologi dan kaunseling di Malaysia masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.

“Pegawai-pegawai psikologi dan kauseling tidak ramai.

“Mungkin tidak melebihi 10 orang. Ia memang tak mencukupi kalau mengikut jumlah pelajar sebuah IPT yang  mencecah berbelas ribu,” katanya pada Selasa.

Jelasnya, beban kerja yang terlalu tinggi menyebabkan pegawai kaunseling sedia ada terpaksa menangani lebih banyak kes daripada yang sepatutnya. Hal ini menjejaskan kualiti perkhidmatan dan kebajikan pegawai itu sendiri.

Mengulas lanjut, bagi menangani isu ini, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dengan kerjasama Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) telah memperkenalkan inisiatif memperkasa Program Rakan Siswa (PRS).

Melalui program ini, pelajar IPT dilatih untuk memberikan sokongan psikologi asas kepada rakan-rakan mereka, dengan tujuan mengurangkan beban pegawai kaunseling dan psikologi profesional.

“Kita ada program rakan sebaya supaya mereka boleh mendekati rakan sebaya mereka. Rakan rakan sebaya inilah yang akan membantu mereka yang masih bersifat mengisolasi diri supaya keluar dan memanfaatkan peluang di luar sana,” kata Azalinda.

Jelasnya, program PRS ini adalah langkah penting dalam memastikan bantuan awal dapat diberikan di peringkat komuniti pelajar disamping berperanan mendidik lebih ramai individu dalam bidang kesihatan mental untuk membantu menampung kekurangan pegawai profesional.

Dalam perkembangan lain, seramai 300 peserta yang terdiri daripada pegawai psikologi dan mahasiswa daripada 25 buah IPT, politeknik dan universiti berkaitan kerajaan (GLU) berjaya dihimpunkan bagi menyertai Seminar Psikologi Kaunseling IPT Kebangsaan 2024 bertempat di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kuala Lumpur.

Seminar ini dilihat sebagai platform penting untuk membincangkan isu-isu semasa dalam bidang psikologi dan kaunseling, serta merangka penyelesaian yang dapat digunakan untuk menambah baik perkhidmatan berkenaan di Malaysia. – airtimes.my

#Malaysia #Semasa #KPT

Related Articles

Leave a Reply