Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Sanggup tinggalkan isteri sarat mengandung demi Beret Hijau

Sanggup tinggalkan isteri sarat mengandung demi Beret Hijau

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Sept – “Saya tinggalkan isteri masa tengah mengandung 3 bulan anak pertama. Walau tak sanggup, tetapi demi minat dan mencari rezeki lebih saya sanggup berkorban,” luah Lans Koperal Muhammad Haiqal Iskandar Azlin, 24.

Beliau merupakan salah seorang dari 67 anggota yang berjaya disarungkan Beret Hijau untuk bergelar warga Gerup Gerak Khas (GGK) pada Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri 2/2024, Ahad lalu.

“Saya amat bersyukur dan bangga kerana akhirnya dapat menyarung beret ini. Selama ini dapat tengok di kaca television dan orang sekeliling sahaja. Namun, kini saya sendiri telah memakainya, impian selama ini telah tercapai,

“Alhamdulilah, mungkin ini dinamakan rezeki anak, rezeki keluarga yang mengizinkan, syukur saya dapat mengharungi latihan 3 bulan dalam kursus ini,” katanya kepada Air Times.

Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab telah menyempurnakan upacara pemakaian Beret Hijau, Lanyard Biru serta pisau komando kepada penuntut Kursus Asas Komando Siri 2/2024 yang berjaya pada Ahad lalu. Foto: AirTimes/Sony

Kegagalan kali pertama bukan penghalang

Muhammad Haiqal menjelaskan, walaupun pernah gagal pada kursus sebelum ini, hasrat untuk menyarung Beret Hijau tidak pernah padam dan berbekalkan semangat itu, beliau tekad untuk meneruskan semula kursus kali ini.

“Saya pernah masuk siri sebelum ini (Kursus Asas Komando siri 1/2024) tetapi gagal meneruskan kerana masalah kesihatan,

“Selepas itu, saya cuba lagi kerana masih berminat lagi untuk menyertai Gerak Khas ini. Saya cuba, alhamdulilah saya berjaya sahut semua cabaran sehingga hari ini,

“Sebab utama saya memang minat GGK dari kecil lagi dan semasa di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) saya telah tanamkan dalam diri untuk menyertai salah satu cabang dalam Gerak Khas,” ujarnya lagi.

Mengandung anak sulung tanpa suami disisi, doa yang terbaik untuk suami

Sementara itu, Hani Syammimi Mohd Asri, 24 meluahkan rasa bersyukur dan bangga dengan kejayaan suaminya yang berjaya bergelar anggota Gerak Khas.

Hani Syammimi Mohd Asri, 24 meluahkan rasa bersyukur dan bangga dengan kejayaan suaminya yang telah bergelar warga Gerup Gerak Khas yang selama ini diimpikannya. Foto: AirTimes/Pasri

Jelasnya, pada permulaan beliau tidak mengizinkan untuk suaminya mengikuti kursus tersebut, namun akur dengan kehendak suami kerana ia merupakan minatnya sejak masuk tentera.

“Masa mula-mula saya tidak reda, saya tengah alahan teruk mengandung anak pertama. Bulan pertama mengandung, bagi saya amat teruk, tapi suami dah minat, saya reda dan izinkan suami pergi (sertai kursus),

“Perasaan masa itu tidak terkata, lain orang lain cara atasi (alahan mengandung). Ada masa kita rasa sedih sangat dan terus teringat pada suami,

“Saya kenal dia (suami) dari awam sampai dia masuk tentera, jadi sudah terbiasa dengan situasi suami (sertai kursus),

“Pernah satu hari, saya sakit dada sangat dan fikiran hanya hendak suami sahaja. Nak hubungi suami tidak boleh, alhamdulilah keluarga banyak membantu dan sokongan sepanjang ketiadaan suami,” ujarnya lagi.

Hani Syammimi yang juga bekas pembantu taska berharap, suaminya akan terus berjaya dalam bidang yang diceburi.

“Saya sebagai seorang isteri hanya berdoa yang terbaik untuk suami. Jangan lupa pada orang yang sentiasa ada dari waktu susah dan sehingga waktu senang,

“Saya juga berharap wanita-wanita di luar sana, jangan sesekali mengalah dan sentiasa kuat semangat untuk menjadi pasangan seorang anggota tentera dan terutamanya GGK,” katanya.

Panglima 21 GGK bersama seorang pegawai dan 66 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang berjaya mengharungi cabaran selama 3 minggu untuk bergelar warga Gerak Khas. Foto: AirTimes/N.Huda

Sementara itu, semasa acara pemakaian beret, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab sempat berpesan kepada Muhammad Haiqal untuk menjaga nama baik komando yang sememangnya sukar untuk diperlolehi.

“Ini rezeki anak dan juga isteri. Jaga anak baik-baik dan jaga nama baik Gerak Khas. Beret ini bukan senang hendak dapat, ingat itu,” tegas Panglima 21 GGK.-airtimes.my

#GGK #gerakkhas #airtimes #TDM #pertahanan #komando

Related Articles

Leave a Reply