SUNGAI UDANG, 1 Sept – Gerup Gerak Khas (GGK) dituntut agar sentiasa peka terhadap perubahan dan dinamika ancaman global serta domestik di dalam negara.
Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab berkata, ancaman ini bukan sahaja datang dalam bentuk fizikal seperti serangan bersenjata, tetapi juga dalam bentuk ancaman siber, biologi dan psikologi yang memerlukan strategi serta pendekatan yang berbeza.
“Oleh itu, profesionalisme dan integriti GGK sebagai anggota pasukan khusus adalah cerminan dedikasi GGK kepada negara dan rakyat,” katanya ketika berucap ketika Majlis Penutup Kursus Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/2/2024 di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Sungai Udang, hari ini.
Beliau turut berharap, pegawai dan anggota yang berjaya di dalam kursus ini akan memberikan komitmen dan bersedia sepenuhnya apabila diaturgerakkan.

Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab berkata, warga Gerup Gerak Khas (Khas) adalah aset tidak ternilai dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Foto: Air Times/N.Huda
“Ia kerana Gerak Khas merupakan elemen ‘tip of the spear’ kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menangani sebarang bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara,
“Saya juga menyeru warga GGK agar terus cakna dan memahami Strategi Domain Darat (SD2) agar 21 GGK terus relevan dan dapat mendukung Angkatan Masa Hadapan (AMH) seperti yang digariskan di dalam Strategi Ketenteraan Negara (SKN 2.0),” jelasnya lagi.
Terdahulu, seorang pegawai dan 66 anggota berjaya membuktikan kecekalan apabila lulus Kursus Asas Komando pada siri kali ini.
Mereka merupakan sebahagian kecil iaitu 30.6 peratus daripada 219 penuntut yang melapor diri pada awal kursus.

Hanya seorang pegawai dan 66 anggota berjaya membuktikan kecekalan apabila lulus Kursus Asas Komando pada siri kali ini. Foto: Air Times/N.Huda
“Seperti mana sedia maklum, Kursus Asas Komando menuntut ketahanan fizikal dan mental di tahap yang tertinggi. Selama 12 minggu saudara-saudara telah mengharungi pelbagai pahit getir dan cabaran bagi menguji ketahanan dan keupayaan saudara-saudara,
“Kejayaan saudara-saudara pada hari ini juga akan memberikan kesan yang besar terhadap pembangunan modal insan TDM amnya dan Gerak Khas khususnya,
“Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan Gerak Khas, malah kejayaan ini turut menjadi kebanggaan keluarga penuntut,” ujar Panglima 21 GGK.
Tegasnya, semua yang berjaya hari ini adalah perwira harapan bangsa dan aset yang tidak ternilai dalam ATM.
Sehubungan itu, beliau memberi peringatan bahawa keagungan Beret Hijau perlulah sentiasa dipelihara dan dipertahankan hingga ke titisan darah yang terakhir.
“Ia kerana Beret Hijau ini merupakan maruah dan lambang kebanggaan Gerak Khas,
“Justeru, saudara-saudara perlu sentiasa membuktikan bahawa saudara-saudara semua benar-benar layak memakainya dengan terus kekal menjaga imej sebagai Special Forces Operator’s yang profesional dan kompeten,
“Jagalah maruah Beret Hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia yang mana akan merugikan segala pengorbanan saudara-saudara semua yang telah bertungkus lumus untuk mendapatkannya,” ujarnya lagi.
Acara penutup hari ini dimulakan dengan demonstrasi menyelamatkan tawanan oleh penuntut yang berjaya menamatkan kursus mencabar itu.

Penuntut Kursus Asas Komando Siri 2/2024 mempamerkan demontrasi menyelamatkan tawanan di kawasan musuh. Foto: Air Times/N.Huda
Demonstrasi tersebut mempamerkan keupayaan dan kemahiran tempur anggota 21 GGK dalam melaksanakan operasi penggempur ke kawasan musuh.
Seusai demontrasi, acara diteruskan dengan perbarisan pemakaian Beret Hijau, Lanyard Biru serta pisau komando dan penyerahan Bendera Kursus yang menjadi simbolik serta tradisi apabila ia diserahkan kembali kepada Komandan PULPAK.
Turut hadir Ketua Staf Am Markas 21 GGK, Brigedier Jeneral Samsyawal Muhamad, Pegawai-pegawai Kanan GGK, dan keluarga penuntut kursus.
Dianggarkan seramai lebih 350 pengunjung termasuk ahli keluarga penuntut hadir untuk menyaksikan upacara penuh bersejarah itu, hari ini.-airtimes.my
#gerakkhas #GGK #Komando #TDM #airtimes #Malaysia