PUTRAJAYA, 31 Ogos – Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya hari ini bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024, membuktikan semangat patriotik kekal subur dalam jiwa rakyat Malaysia.
Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, Hari Kebangsaan 2024 disemarakkan dengan acara perbarisan dan perarakan oleh 17,262 orang peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara pelbagai agensi.
Acara hari ini bermula dengan ketibaan pembesar negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sambutan secara rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dengan menaiki kenderaan rasmi sekitar jam 8 pagi.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya.
Sejurus keberangkatan tiba di Pentas Diraja, 5 pesawat helikopter membawa Jalur Gemilang melakukan lintas hormat, sebagai penghormatan kepada Seri Paduka Baginda diiringi nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.
Lebih membanggakan, bacaan ikrar Rukun Negara kali ini diketuai oleh Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa bersama 66 pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Mohd Khairul adalah wira yang berjaya menewaskan pencerobohan Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang turut mengorbankan seorang anggota polis pada Mei lalu.
Hadirin kemudian dipersembahkan dengan acara perbarisan dan perarakan membabitkan kontinjen kenegaraan, urus tadbir negara, konvoi Kembara Merdeka, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Perarakan dari pasukan keselamatan, aset Tentera Darat Malaysia (TDM) antara mendapat sorakan yang gemuruh dari pengunjung.
Selain itu, kekuatan aset pelbagai agensi antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) turut ditonjolkan bagi mencerminkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.
Sudah pasti, acara nantikan hadirin adalah pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antaranya dibarisi 5 pesawat pejuang Sukhoi SU 30 MKM, pesawat F-18D Hornet dan Hawk MK 208.
Persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ menggunakan peralatan pembersihan iaitu penyapu dan tong sampah turut dipersembahkan, sebagai manifestasi ketelusan tatakelola dan integriti sekali gus mengakhiri persembahan sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Sebahagian pengunjung yang meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024, Fahmi Fadzil berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa gembira dengan perjalanan sepanjang sambutan yang berlangsung hari ini.
Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa gembira kerana ketepatan masa sambutan itu berlangsung.-airtimes.my
#HariKebangsaan #Malaysia #ATM #PDRM #airtimes #Putrajaya