MINSK, 19 OGOS – Kerajaan Belarus telah menghantar lebih 120 ribu anggota tenteranya ke kawasan sempadan berikutan keadaan konflik di antara Rusia-Ukraine yang kian meruncing.
Penghantaran tersebut melibatkan lebih 1 per 3 kekuatan tentera Belarus dan disahkan oleh Presiden Alexander Lukashenko.
Lukashenko, sekutu kuat Presiden Rusia, Vladimir Putin menyatakan langkah tersebut dibuat selepas Ukraine melancarkan operasi ketenteraan ke dalam Rusia pada 6 Ogos lalu.
“Melihat kepada situasi sebegini, kami (Belarus) mengambil langkah untuk menempatkan anggota tentera di kawasan sempadan, sekiranya berlaku peperangan,” kata Presiden Belarus dalam laporan media Belta.
Sementara itu, media Kyiv, Ukrainska Pravda, memetik kenyataan jurucakap perkhidmatan sempadan Ukraine menjelaskan situasi keselamatan di kawasan sempadan dengan Belarus tidak berubah.
“Kami melihat retorik yang dilakukan oleh Lukashenko tidak berubah,
“Tiada sebarang perkembangan menunjukkan peningkatan peralatan dan juga kehadiran anggota tentera Belarus di kawasan sempadan,” Andriy Demchenko.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Belarus, Viktor Khrenin pada Jumaat menyatakan mereka sedang berhadapan dengan kemungkinan yang tinggi akan berlaku konfrontasi dengan Ukraine.
“Provokasi bersenjata mungkin akan berlaku dari Ukraine dan situasi di kawasan sempadan adalah tegang,” kata Viktor.
Selain itu, Lukashenko menyatakan periuk api telah dipasang di sepanjang sempadan Ukraine-Belarus.
“Jumlah periuk api yang dipasang adalah lebih banyak berbanding keadaan sebelum ini,” kata Lukashenko. – airtimes.my
#AirTimes #Global #Belarus