Home GlobalPerang Kursk: Puluhan ribu penduduk dipindahkan akibat pertempuran Rusia-Ukraine

Perang Kursk: Puluhan ribu penduduk dipindahkan akibat pertempuran Rusia-Ukraine

Serangan mengejut pada 6 Ogos menyebabkan kerajaan Rusia ambil langkah berjaga-jaga di kawasan berhampiran Kursk

by M.Daim
A+A-
Reset

MOSKOW, 11 OGOS – Pertempuran yang kian merebak di kawasan wilayah Kursk telah menyebabkan kerajaan Rusia memindahkan penduduk mereka di kawasan berhampiran dengan konflik.

Perkembangan terbaharu yang berlarutan semenjak 6 Ogos lalu telah mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan loji kuasa nuklear Kursk. Agensi nuklear Rusia telah memberi amaran bahawa fasiliti kritikal tersebut sedang ‘terancam secara langsung’ akibat pertempuran yang berlaku di kawasan berhampiran.

Pertempuran yang berlaku telah membawa kepada usaha kerajaan Rusia untuk memindahkan ribuan penduduk dari kawasan berhampiran.

Pihak Kremlin turut menyatakan mereka sedang melaksanakan operasi anti keganasan. Mereka turut memberi amaran kemaraan tentera Ukraine serta pertempuran yang berlaku akan membahayakan loji tenaga nuklear yang terletak 40 kilometer barat bandar Kursk.

“Lebih daripada 76,000 orang telah dipindahkan sementara ke tempat yang selamat,” jurucakap kerajaan Rusia, Artyom Sharov yang dipetik oleh agensi TASS.

Menurut beliau, pusat kecemasan dan pemindahan penduduk dari kawasan bergolak masih lagi beroperasi di Kursk.

Pada masa yang sama, kerajaan Rusia pada Sabtu telah mengumumkan tindakan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan yang bersempadan dengan wilayah Kursk.

Selain itu, pertempuran dilaporkan masih lagi berlaku di kawasan Sudhza, 10 kilometer dari sempadan Ukraine-Rusia. Kawasan itu telah ditawan oleh Ukraine dalam serangan mengejut pada  6 Ogos lalu.

Bandar Sudhza menempatkan transit paip eksport gas Rusia ke Eropah. – airtimes.my

#AirTimes #Rusia #Ukraine #Global

Related Articles

Leave a Reply