PUTRAJAYA, 31 JUL – Tatakelola perolehan aset dan peralatan untuk pasukan keselamatan yang dilaksanakan atas dasar keuntungan peribadi merosakkan negara.
Menurut beliau, perkara ini berlaku berdasarkan pengalaman yang lalu di mana perolehan yang dilakukan adalah untuk keselamatan negara tetapi cara perolehan yang dilakukan adalah sebaliknya.
“Kalau matlamat itu menjaga keselamatan negara, maka cara perolehan itu harus bertanggungjawab,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan Majlis Perasmian Bulan Keselamatan Negara dan Sidang Kemuncak Keselamatan Siber NACSA 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa.
“Kadang-kadang perolehan itu untuk keselamatan, tetapi cara membeli itu telah menyebabkan terlalu banyak ketirisan. Ini mesti dihentikan,
“Bila bicara, jaminan keselamatan. Bila ambil tindakan (laksana) – kepentingan keuntungan peribadi,
“Inilah perangai-perangai merosakkan kepentingan negara. Sebab itu, saudara-saudara tahu saya agak keras dalam hal ini, sangat tidak disenangi oleh banyak pihak. Tetapi tidak ada pilihan ,” katanya.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada barisan pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memastikan perolehan yang dilaksanakan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
“Sebab itu saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan pasukan keselamatan, baik ATM dan PDRM, kerana kembali kepada landasan memastikan perolehan mesti mengikut kaedah dan peraturan betul,
“Dan tidak untuk kepentingan ejen-ejen sama ada dalam atau luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan semua pihak tidak perlu berasa selesa dengan pencapaian ekonomi dan keamanan sedia ada. Menurut beliau, ancaman keselamatan sentiasa ada dan wujud setiap masa. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #Keselamatan
