Pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh dijangka akan memburukkan lagi keadaan yang sedang melanda rantau Timur Tengah.
Dunia dikejutkan dengan berita kematian pemimpin itu selepas ia disahkan oleh kumpulan Hamas dan juga Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada hari ini. Tambahan pula, kenyataan oleh kedua-dua pihak menunjukkan bahawa pemimpin Palestin itu menetap di Iran.
Media antarabangsa melaporkan pihak tentera Israel enggan memberikan sebarang komen mengenai kematian lawan mereka.
Di pihak Hamas pula, mereka berikrar untuk membalas kematian Ismail Haniyeh. Di pihak Palestin melalui kerajaan Palestin Authority, Presiden Mahmoud Abbas mengutuk serangan terhadap pemimpin Hamas itu sebagai yang terburuk dan merupakan tindakan pengecut.
Dalam erti kata lain, rundingan gencatan senjata Gaza dijangka akan terus tergantung dan mungkin tidak akan menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat. Tambahan pula, Ismail Haniyeh sendiri telah menerima duka kematian 10 ahli keluarganya di kawasan bergolak pada Jun lalu.
Semenjak 7 Oktober 2023, seramai 7 orang (termasuk Ismail Haniyeh) golongan pemimpin Hamas disahkan maut.
Pada tahun ini, sebelum kematian Ismail Haniyeh, Hamas telah kehilangan 2 pemimpin pentingnya iaitu Timbalan Pengerusi Biro Politik Hamas, Saleh al-Arouri; dan Timbalan Komander Sayap Bersenjata Hamas Briged Izz ad-Din al-Qassam, Marwan Issa.
Pembunuhan pemimpin-pemimpin Hamas bukanlah sesuatu yang baharu dengan melihat kematian beberapa pemimpin Hamas sebelum ini – termasuk Sheikh Ahmed Ismail Hassan Yassin dan Abdel Aziz al-Rantisi, yang kedua-duanya merupakan antara pengasas Hamas.
Namun begitu, dalam tempoh terdekat, tindak balas kumpulan bersenjata Palestin dan juga kumpulan lain yang terlibat dalam Paksi Penentangan (Axis of Resistance) akan menjadi perhatian pelbagai pihak di peringkat antarabangsa.
Gaza pada ketika ini masih lagi berada dalam keadaan genting di mana krisis kemanusiaan yang pelbagai termasuk kebuluran dan penularan wabak.
Namun begitu, timbul pelbagai persoalan mengenai kematian Ismail Haniyeh terutamanya di pihak Iran.
Sudah tentu Iran akan bimbang keselamatan para pemimpin tingginya memandangkan Ismail Haniyeh telah hadir ke Tehran untuk menyertai upacara angkat sumpah Presiden ke-9 Iran, Masoud Pezeshkian.
Persengketaan antara Tel Aviv-Tehran bukanlah sesuatu yang baharu tetapi ia jarang didedahkan kepada umum memandangkan kedua-dua pihak begitu berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun pendedahan.
Akan tetapi, persoalan sama ada Tehran akan bertindak balas atau tidak sudah pasti akan timbul. Ini memandangkan serangan terhadap pemimpin Hamas itu berlaku di kawasan dalaman Iran.
Iran sebelum ini melancarkan serangan besar-besaran terhadap Israel pada pertengahan April lalu. Serangan itu merupakan tindak balas Tehran terhadap Tel Aviv berikutan pengeboman Kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April 2024.
Lantaran dari pengeboman kedutaan Iran yang meragut 16 nyawa, Iran telah melancarkan Operasi Janji Yang Benar (Operation True Promise) pada 13-14 April 2024. Serangan Iran kemudian dibalas secara terhad oleh Israel pada 19 April 2024.
Sama ada Iran akan bertindak balas atau tidak – itu mungkin antara persoalan yang akan menjadi perhatian dalam masa terdekat. – airtimes.my
#AirTimes #Diskusi