Home Pertahanan dan Keselamatan Kita menang melawan komunis sehingga mereka letak senjata, sentiasa waspada ancaman subversif – DSP Kenny

Kita menang melawan komunis sehingga mereka letak senjata, sentiasa waspada ancaman subversif – DSP Kenny

Kebolehan rangkaian perisikan khususnya Cawangan Khas dan unit elit rahsia Polis Diraja Malaysia (PDRM), F-Team sesuatu yang perlu dibanggakan.

by Zaki Salleh

Kejayaan pasukan keselamatan menewaskan Parti Komunis Malaya (PKM) dan gerakan subversif sehingga meletakkan senjata merupakan satu kemenangan total yang mutlak.

Ini merupakan kemenangan besar kerana perang menumpaskan komunis dan ideologi komunisme bukan mudah selain banyak bermain tipu helah.

Menerusi perang perisikan, menumpaskan elemen bawah tanah PKM telah berjaya meruntuhkan sokongan walaupun melaluinya penuh liku-liku.

Apa yang menjadikan kempen memerangi komunis semasa Insurgensi unik ialah pasukan keselamatan kita menggunakan cara tersendiri yang tidak dipengaruhi mana-mana negara.

Kebolehan rangkaian perisikan khususnya Cawangan Khas dan unit elit rahsia Polis Diraja Malaysia (PDRM), F-Team sesuatu yang perlu dibanggakan.

Justeru, penting bagi generasi muda hari ini melihat kembali fasa genting negara semasa berdepan dengan ancaman pengganas komunis walaupun 35 tahun telah berakhir.

Bekas pegawai F-Team, DSP (B) Kamarudin Hashim berkata, kegiatan pengganas komunis dan elemen subversif menggoncang keselamatan negara pada masa itu dan merupakan satu ancaman.

Kamarudin, 75, atau lebih dikenali sebagai ‘Kenny’ semasa bergiat aktif dalam pasukan itu berkata, kepimpinan polis bertindak bijak apabila memperkuat elemen perisikan.

Menceritakan pengalamannya, kata Kenny, pasukan F-Team yang bermula dengan sifar pengalaman secara perlahan-lahan membentuk kemahiran sendiri berdasarkan pengalaman operasi demi operasi.

Ini termasuklah peranan utama dimainkan bekas pengganas komunis yang telah meletakkan senjata (surrender enemy personal – SEP) dan menyertai F-Team.

“Kunci pada kejayaan perisikan ialah ‘sabar’, kerana operasi yang kita jalankan memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.

“Ini kerana misi F-Team bukan hanya untuk menumpaskan pengganas, sebaliknya menangkap hidup-hidup kerana maklumat yang diperolehi (kemudian) sangat berguna untuk perisikan seterusnya.

“Sebab itu kejayaan F-Team dalam operasi ialah dapat menawan atau memujuk keluar pengganas komunis secara beramai-ramai.

“Kita akui untuk memburu pengganas komunis bukan mudah yang mana operasi seperti penjejakan oleh pasukan keselamatan (polis dan tentera) di dalam hutan sangat mencabar.

“Sebaliknya, menerusi perisikan kita perlu cermat dan bijak mengumpul maklumat-maklumat sebelum menghidu di mana kedudukan musuh sebelum bertindak,” ujarnya ketika ditemui.

Pada usia emas, Kamarudin yang berkhidmat selama 23 tahun dengan PDRM dan merupakan pegawai paling lama di dalam F-Team masih mempunyai pemikiran yang tajam.

Selepas menamatkan perkhidmatan, beliau menyertai beberapa entiti korporat dan swasta dalam bidang keselamatan.

Beliau kini banyak berkongsi pengalaman apabila sering dijemput untuk memberikan ceramah berkaitan F-Team termasuklah dengan institusi pendidikan dan NGO.

Kisah mengenai perjuangan pasukan F-Team juga telah dibukukan dalam dua buah buku siri ‘F-Team : Rahsia Dalam Rahsia’ tulisan bekas pegawai kanan polis, Zahriman Alias. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #keselamatan #FTeam

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!