Home SemasaAS, Jepun telah minta Malaysia jadi pengantara dengan Hamas – Tok Mat

AS, Jepun telah minta Malaysia jadi pengantara dengan Hamas – Tok Mat

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 18 JUL – Malaysia telah diminta oleh Amerika Syarikat dan Jepun untuk menjadi pengantara bagi meyakinkan Hamas supaya bersetuju dengan cadangan dan melaksanakan Resolusi 2735 (2024).

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Resolusi 2735 (2024) itu telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 10 Jun 2024 lalu.

“Resolusi ini menggariskan cadangan tiga fasa oleh Amerika Syarikat yang menyeru untuk gencatan senjata segera, kekal dan berkesan, pembebasan tebusan, pertukaran tahanan warga Palestin dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dilaksanakan.

“Resolusi tersebut juga menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula Gaza,” katanya ketika persidangan parlimen pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berhubung peranan Malaysia dalam meraih sokongan antarabangsa ke arah pelaksanaan cadangan tiga fasa Presiden Amerika
Syarikat untuk menamatkan kekejaman Israel di Gaza.

“Pengiktirafan ini menunjukkan usaha konsisten Malaysia dalam menggesa gencatan senjata yang berkesan di Gaza.

“Melalui segala platform samada dua hala atau pelbagai hala, Malaysia kini berpeluang memainkan peranan utama dalam pembebasan rakyat Palestin dan penubuhan negara Palestin,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Jepun juga telah mempelawa Malaysia untuk bekerjasama dalam membangunkan semula Gaza.

“Menyentuh mengenai bantuan kemanusiaan pula, Malaysia telah berjaya menghantar lebih 5,000 tan bantuan kemanusiaan dan telah diterima serta dimanfaatkan oleh ribuan rakyat Palestin di sana.

“Melalui projek Ops Ihsan ini, seramai 184,000 penduduk Gaza telah menerima manfaat darinya,” katanya.

Secara konklusinya, Malaysia tidak pernah berputus asa meneruskan sokongan kemanusiaan walaupun Israel telah melancarkan serangan udara di kem Al-Nuseirat yang mengorbankan tujuh rakyat tempatan sukarelawan Malaysia dan memusnahkan 2,000 kotak bantuan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply